ARTIKEL

Francis Harden menyampaikan cek sumbangan MRP kepada salah seorang wakil sekolah pada Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga MSSB Sri Aman Kali Ke-60 bagi Tahun 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini. Foto: UKAS

Semua pihak perlu perkukuh kerjasama bangunkan potensi belia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menyeru semua pihak agar terus memperkukuhkan kerjasama dalam membangunkan potensi belia.

Menurutnya, agensi kerajaan boleh menyediakan program dan kemudahan yang bersesuaian, sementara sektor swasta boleh menyumbang menerusi tajaan.

Datuk Francis Harden Hollis

“Komuniti pula berperanan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan anak muda berkembang secara positif.

“Saya yakin sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing, kita mampu melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti yang akan menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Sri Aman Kali Ke-60 bagi Tahun 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.

Sokongan beliau terhadap bidang pendidikan turut diterjemahkan dalam bentuk sumbangan kepada sekolah.

Pada majlis tersebut, Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Simanggang itu menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM290,000 kepada 13 sekolah dan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS).

Harden dalam pada itu menekankan bahawa penyertaan dalam sukan dapat memberi ruang kepada golongan belia untuk mengisi masa dengan aktiviti sihat menerusi jadual latihan teratur, semangat berpasukan dan hubungan positif dengan rakan sebaya.

Tambahnya, dalam era yang semakin mencabar dengan pelbagai pengaruh daripada persekitaran, rakan sebaya dan teknologi, sukan menyediakan platform yang selamat untuk membentuk sahsiah serta menghindarkan golongan muda daripada terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.

Kejohanan Olahraga MSSB Sri Aman tahun ini menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili muncul juara keseluruhan selepas meraih 34 pingat emas, 34 perak dan 27 gangsa.

Tempat kedua dimenangi SMK Lubok Antu dengan kutipan 29 emas, 32 perak dan 24 gangsa, manakala SMK Sri Aman menduduki tempat ketiga dengan 16 emas, 20 perak dan 24 gangsa.

Bagi kategori Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), SMK Lingga muncul juara dengan kutipan tiga pingat emas, lima perak dan dua gangsa.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin dan Pengerusi Pengelola Kejohanan Olahraga MSSB Sri Aman Kali Ke-60, Jaya Salleh.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU