KUCHING: Semua sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan beroperasi seperti sediakala mulai esok.
Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli berkata ia susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan di daerah berkenaan pada jam 1 petang, hari ini menurun daripada 200.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas atau sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke
semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Omar menambah, pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia serta mengutamakan kesihatan murid, guru dan seluruh warga sekolah sepanjang masa.
Sementara itu, bacaan di stesen-stesen IPU yang direkodkan di Sarawak setakat jam 12 tengah hari ini menunjukkan empat daerah masih berada pada tahap tidak sihat iaitu Serian (161), Kota Samarahan (155), Tebedu (125) dan Kuching (118).






