KUCHING: Penganjuran Senaman Cergas 1 Kenyalang bukan sekadar platform mempromosikan gaya hidup sihat, malah dijangka menjadi pemangkin ekonomi komuniti setempat dengan menyasarkan penyertaan sehingga 1,500 orang pada 11 Oktober ini.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komuniti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Rudzaimeir Malek berkata, program berteraskan komuniti itu dianjurkan sempena WAK Kuching Festival 2026.
“Ia dilihat mampu merangsang aktiviti ekonomi mikro, khususnya melibatkan peniaga kecil, vendor tempatan dan pengusaha perkhidmatan yang terlibat sepanjang acara berlangsung,” katanya.
Rudzaimeir berkata demikian pada sidang media Senaman Cergas 1 Kenyalang 2026 yang diadakan sempena DBKU Car Free Morning Petra Jaya Edition dan WAK Kuching Festival 2026 di sini, hari ini.

Beliau menambah, penganjuran acara berskala besar seperti ini memberi limpahan manfaat bukan sahaja dari aspek kesihatan, malah turut membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Apabila program seperti ini dianjurkan, ia bukan sahaja menghimpunkan masyarakat untuk bersenam, tetapi turut mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti melalui jualan produk, perkhidmatan dan aktiviti sokongan lain,” katanya lagi.
Menurutnya, inisiatif itu juga selari dengan usaha DBKU melalui program Kuching Car-Free Morning yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, tetapi turut menghidupkan kawasan bandar menerusi kehadiran orang ramai tanpa kenderaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr Dayang Elena Maria berkata, program berkenaan memberi fokus kepada penglibatan golongan belia sebagai penggerak utama aktiviti kecergasan dan komuniti.
“Belia bukan sahaja menjadi peserta, malah turut terlibat sebagai jurulatih, sukarelawan dan penganjur. Ini membuka ruang pembangunan bakat serta kepimpinan dalam kalangan mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, setakat ini, hampir 400 peserta telah mendaftar dan angka tersebut dijangka terus meningkat menjelang tarikh tutup penyertaan pada 10 September.
“Menariknya, acara tersebut menggabungkan tiga jenis senaman popular iaitu aerobik, zumba dan aerodance dalam satu sesi, menjadikannya antara program kecergasan komuniti paling dinamik yang pernah dianjurkan di Sarawak.
“Selain itu, kolaborasi bersama WAK Festival turut memperkukuh nilai acara sebagai sebahagian daripada ekosistem pelancongan bandar sekali gus berpotensi menarik kehadiran pengunjung luar ke Kuching.
“Peserta dikenakan yuran RM25 termasuk baju larian atau RM12 tanpa pembelian baju larian, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah tajaan penaja utama,” jelasnya sambil menambah tarikh tutup penyertaan ialah pada 10 September 2026.



