Senapang angin seludup dirampas

LAWAS: Satu senapang angin milik seorang lelaki warga tempatan dipercayai diseludup daripada negara Indonesia ditemui disembunyikan di dalam bilik stor kediaman suspek berhampiran Lot 631, RKB Jalan Punang, semalam.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Roslan Leman berkata, senjata terbabit ditemui dalam satu serbuan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Lawas di lokasi sekitar jam 10.30 pagi.

Menurutnya, suspek, 54, yang mengaku sebagai penjaga stor berseorangan di rumah manakala anak dan isterinya keluar ketika serbuan dijalankan.

“Suspek mengaku membeli senjata terbabit pada awal Januari 2020 dari sebuah kedai di Long Bawan, Indonesia sebelum menyelitkannya di dalam timbunan pakaian semasa memandu merentasi sempadan kedua-dua negara.

SUSPEK… suspek dipercayai membeli senapang terbabit dari negara jiran sebelum menyeludup masuk ke Sarawak

“Turut ditemui, sejumlah 90 butir peluru senapang angin yang dibeli dari lokasi sama,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek turut mengaku membeli senapang dan peluru terbabit masing-masing dengan harga RM400 dan RM50 sepeket bagi tujuan menjaga kebunnya di Kampung Siang-Siang, Jalan Trusan, Lawas.

Susulan itu, jelasnya, suspek bersama barangan kes telah dibawa ke IPD Lawas untuk tindakan siasatan lanjut.

Beliau menambah, hasil soal siasat lanjut suspek ada memberitahu beliau tidak menggunakan senjata tersebut untuk memburu ke kawasan lain dan meminjamkannya kepada orang lain setakat ini.

Ujarnya, kes kini masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sementara itu, dedahnya, suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau itu kini akan dipohon reman pada 12 Julai 2020 untuk siasatan lanjut.