SUKAN taekwondo yang digugurkan dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini akan dimasukkan semula pada penganjuran Sukma Sarawak 2024.
Presiden Persatuan Taekwondo Malaysia Azizul Annuar Adenan berkata, keputusan tersebut telah dibuat dalam mesyuarat penyelarasan Sukma bulan lalu yang turut dihadiri oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Majlis Sukan Sarawak (MSS).
Justeru, katanya, taekwondo antara salah satu daripada 26 sukan yang bakal dipertandingkan pada penganjuran pada Sukma 2024.
“Taekwondo adalah satu Sukan Olimpik dan sukan yang ada prospek untuk negara dan sebab itu ia dimasukkan semula,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, di Santubong, semalam.
Dengan kemasukan semula taekwondo, Azizul berharap sukan tersebut dapat dimasukkan kembali dalam program sukan teras negara.
Jelasnya, taekwondo sebelum ini pernah disenaraikan dalam program tersebut, namun digugurkan dan berharap ia dikembalikan semula dalam program podium dan program sukan yang lain.
Dalam pada itu, Azizul yang juga Adun Tanjung Datu bersedia untuk mempertahankan jawatannya selaku Presiden Persatuan Taekwondo Malaysia yang disandangnya selama lima tahun.
Katanya, pemilihan akan berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan itu pada Julai depan.
Untuk rekod, Sarawak kali pertama menjadi tuan rumah Sukma 1990 dan kali terakhir pada 2016.
Terdahulu, beliau dan ibunya, Puan Sri Datuk Amar Jamilah Anu serta Timbalan MenteriTimbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni serta isteri Dayang Halimah Abang Paul menerima kunjungan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.






