ARTIKEL

Pele menerima hadiah daripada Mathew pada Pertandingan Menembak Bersama Barisan Kepimpinan IPD Saratok sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Simanggang hari ini.

Senator Pele gesa pembinaan IPD Saratok baharu disegerakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIMANGGANG: Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom menggesa agar pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang baharu disegerakan bagi memperkukuh tahap keselamatan di daerah tersebut.

Menurutnya, cadangan tersebut antara yang terus diperjuangkan selain penambahbaikan kemudahan logistik serta penambahan anggota polis, khususnya pegawai narkotik bagi ditempatkan di IPD Saratok.

“Sehubungan itu, pada persidangan Parlimen akan datang, saya akan terus memperjuangkan perkara ini, di samping memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar pembinaan IPD Saratok yang baharu dapat disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Menembak Bersama Barisan Kepimpinan IPD Saratok sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di sini, hari ini.

Pele menjelaskan, tapak bagi pembinaan IPD baharu itu telah dikenal pasti dan kelulusan dasar telah diperoleh, namun projek berkenaan belum dimulakan setakat ini.

“Justeru, saya berharap pelaksanaan projek ini dapat dipercepatkan demi keselesaan anggota polis serta memenuhi keperluan keselamatan rakyat di Saratok,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan di peringkat dasar di Putrajaya, isu peningkatan kawalan keselamatan khususnya berkaitan jenayah dadah di Saratok sentiasa dibangkitkan dalam setiap persidangan.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan atas kerjasama erat antara warga polis, pemimpin setempat dan masyarakat di daerah tersebut.

Katanya, hasil kerjasama tersebut telah membantu meningkatkan tahap keselamatan awam dari tahun ke tahun meskipun pihak polis masih berdepan pelbagai kekangan.

Pele muncul johan bagi kategori VIP pada pertandingan tersebut.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik serta Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU