SARATOK: Penghuni Rumah Panjang Jantum, Nanga Blangun, Ulu Krian yang hilang tempat berteduh akibat kebakaran bulan lalu menerima sumbangan wang bantuan kebajikan dan bencana yang disalurkan kerajaan, hari ini.
Majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Pejabat Daerah Saratok disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom.
Dalam ucapannya, Pele berkata bantuan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menjayakan aspirasi Sejahtera MADANI bagi meringankan beban mangsa selain memupuk semangat kebersamaan masyarakat.
“Kerajaan amat menyedari kesusahan dan kepayahan yang ditanggung mangsa. Kehadiran kami hari ini adalah tanda kebersamaan, di samping berusaha meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Jelas beliau, bantuan tersebut disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jantum serta penduduk setempat yang bertungkus-lumus membantu sejak insiden berlaku.
Pele dalam pada itu menegaskan, peristiwa kebakaran tersebut menjadi peringatan tentang pentingnya aspek keselamatan, khususnya di rumah panjang yang menempatkan banyak keluarga.
“Saya berharap agensi berkaitan mempergiatkan program kesedaran keselamatan kebakaran kepada penduduk rumah panjang,” ujarnya.
Pada 20 Ogos lalu, sebuah rumah panjang 16 pintu di Nanga Blangun musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran pada tengah hari, mengakibatkan semua 86 penghuninya hilang tempat tinggal.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok yang menerima panggilan kecemasan pada jam 1.35 tengah hari berjaya memadamkan kebakaran tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

