KOTA SAMARAHAN: Seni bonsai bukan sekadar menghiasi ruang atau dipertandingkan, malah menjadi medium menyatukan peminat dari Malaysia, Brunei dan Indonesia menerusi perkongsian budaya, ilmu serta kecintaan terhadap alam.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr Abang Ismawi Abang Ali berkata, tema Satu Borneo Satu Komuniti Bonsai pada Pameran Kejohanan Bonsai dan Suiseki Terbuka 2026 membawa mesej mengenai persamaan yang dikongsi masyarakat di tiga negara di pulau Borneo.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Kejohanan Bonsai dan Suiseki Terbuka 2026 di La Promenade HSL, di sini, hari ini.
Seni bonsai turut mengajar nilai kesabaran, disiplin dan penghargaan terhadap proses, kerana sesebuah pokok memerlukan penjagaan serta pengetahuan bertahun-tahun untuk dibentuk menjadi karya seni.
Nilai itu boleh diterapkan dalam membina hubungan komuniti menerusi pertemuan, pertukaran pengetahuan, persefahaman dan sikap saling menghormati.
Abang Ismawi turut menekankan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, termasuk menghargai kepelbagaian tumbuhan dan pokok yang menjadi sebahagian daripada identiti serta warisan Borneo. Penyertaan suiseki bersama bonsai pula memperlihatkan hubungan antara alam, seni dan penghargaan terhadap keindahan semula jadi.

Dalam majlis sama, beliau menyampaikan Anugerah Utama SBA kepada Hayes Teo Siaw Hui bagi spesies Buxus harlandii dan Ficus microcarpa, serta Yeo Teck Hui bagi spesies Assam saraf. Anugerah Hock Seng Lee pula dimenangi Thian Hon Sian menerusi spesies Bougainvillea.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bonsai Sarawak, penganjur, sukarelawan, juri, penaja serta delegasi dari Brunei dan Indonesia, khususnya Kelab Bonsai PPBI Indonesia, sambil berharap acara itu dapat menarik lebih ramai generasi muda mendekati seni bonsai dan kelestarian alam.

