KABONG: Seni warisan tradisi budaya silat rumpun Melayu terus diperkukuh di daerah Kabong melalui penganjuran sesi perjumpaan bersama pihak Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) Kabong di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kabong.
ADUN Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir berkata, ia amat penting sebagai salah satu platform bagi membincangkan strategi dan langkah berterusan bagi memastikan seni mempertahankan diri tradisional seperti silat terus dipelihara, diperkasa dan diwariskan kepada generasi muda agar kekal relevan seiring peredaran zaman.
“Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, malah merupakan lambang identiti, jati diri dan nilai budaya masyarakat Melayu yang perlu dijaga serta dipertahankan sebagai khazanah warisan negara.
“Usaha memartabatkan budaya silat perlu digerakkan secara berstruktur dan berterusan, melibatkan kerjasama pemimpin setempat, pertubuhan masyarakat serta badan-badan kebudayaan bagi memastikan kesinambungan seni warisan tersebut tidak terhenti,” katanya dalam kenyataan ringkas selepas sesi randau bersama KUBENA di Kabong, pada Selasa.
Dalam konteks itu, katanya, perhatian turut diberikan kepada peranan Persatuan Silat Mayang Mangurai Sarawak Wilayah Kabong yang berada di bawah pengurusan KUBENA Kabong.
“Persatuan yang ditubuhkan pada Mei 2024 itu kini mempunyai 80 orang ahli terdiri daripada belia dan kanak-kanak, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap seni silat dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan dalam usaha memartabatkan seni budaya silat, sumbangan berjumlah RM15,000 diserahkan kepada persatuan tersebut bagi tujuan pembelian tikar silat dan peralatan latihan, demi menyediakan kemudahan latihan yang lebih selamat dan kondusif.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai pesilat muda, seterusnya memastikan seni budaya silat terus subur, dihormati dan menjadi kebanggaan masyarakat setempat.-TVS





