BINTULU: Seni kaligrafi Cina perlu terus diperkasa sebagai khazanah warisan budaya yang bukan sahaja melambangkan keindahan seni tulisan, malah menjadi medium penting dalam memelihara identiti, nilai dan tradisi untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, seni kaligrafi merupakan permata berharga dalam tamadun masyarakat Cina kerana setiap hasil tulisan mencerminkan sejarah, falsafah, nilai murni dan kekuatan jati diri yang diwarisi sejak lama.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Bakat, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada perasmian Pertandingan Kaligrafi Kali Ke-13 Tahun 2026 anjuran Persatuan Komuniti Kaligrafi Cina Bintulu, di sini, Ahad.
Menurut Johnny Pang, kehadiran penggiat seni, guru serta pencinta seni dari Sarawak, Sabah dan Brunei membuktikan seni kaligrafi masih mempunyai kedudukan kukuh serta mendapat perhatian di peringkat serantau.
Program seumpama itu juga menjadi platform menghimpunkan komuniti seni untuk bertukar pandangan serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam memelihara dan mengembangkan seni kaligrafi.
Beliau turut menyifatkan penyertaan pelajar sekolah rendah sebagai perkembangan membanggakan apabila mereka berjaya mempamerkan kemahiran kaligrafi yang tinggi meskipun masih muda.
Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada persatuan penganjur dan semua penggiat seni yang tidak pernah jemu memperjuangkan perkembangan seni kaligrafi di Sarawak, serta mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan berharap penganjuran acara seumpama itu dapat diteruskan sebagai platform memperkukuh pemeliharaan warisan budaya dan mengangkat seni kaligrafi Sarawak ke peringkat lebih tinggi.



