SIBU: Seorang lelaki terbunuh manakala empat lagi cedera setelah dua buah kereta terlibat dalam kemalangan di simpang Lorong Ulu Oya 8, Jalan Ulu Oya di sini, hari ini (Sabtu).
Mangsa yang maut dikenali sebagai Lungan Engkang berusia 53 tahun manakala yang cedera ialah Nancy Angjas, 46, Chaterine Lungan, 13. Seorang penumpang belum diperoleh maklumatnya dan pemandu sebuah lagi kereta Clinton Lem, 30.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7 pagi.
Susulan itu, jelasnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah mengerahkan 14 anggotanya diketuai PBK I (KUP) Shairulnizam Wailie selaku komander operasi ke lokasi kejadian yang terletak tujuh kilometer dari balai.
“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, Proton Exora dan Proton Saga.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital Sibu oleh ambulans, sementara pemandu Proton Saga telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sibu,” katanya.
Bagi tindakan operasi, ujar beliau,
komander operasi mengarahkan anggota mengeluarkan mayat mangsa menggunakan ‘Scoop Stretcher’ dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada jam 8.03 pagi.




