SERIAN: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Telagus, Jalan Balai Ringin, kira-kira jam 1.55 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kemalangan membabitkan sembilan individu sambil mengesahkan seorang lelaki dewasa yang menaiki kereta jenis Toyota Avanza disahkan meninggal dunia akibat kejadian.
“Kemalangan mengakibatkan seorang lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang wanita, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan. Mereka merupakan individu yang berada di dalam kenderaan Toyota Avanza.
“Enam lagi individu yang berada di dalam kenderaan Proton Saga dan Proton X50 tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, kes dipercayai kini dalam siasatan pihak polis.
Orang ramai yang melalui lokasi kemalangan diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan trafik berjalan dengan lancar.

