KUCHING: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah Perodua Bezza terbabas di bahu jalan sebelum Shell Station Batu 7, Jalan Penrissen, di sini, awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi BBP Kota Sentosa, PBK II Jifree Sujal, kejadian berlaku pada 4.26 pagi dan pihak bomba tiba di lokasi sekitar 4.32 pagi.
“Setibanya pasukan di lokasi, seorang mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan kami. Seorang lagi mangsa masih tersepit di dalam kenderaan,” katanya.

Tambah Jifree, pasukan penyelamat kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Bagaimanapun, malangnya mangsa yang berusia 36 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa lelaki yang cedera parah dan berusia 22 tahun dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Selepas operasi menyelamat selesai, pasukan turut membersihkan sisa kemalangan sebelum bertolak balik ke balai,” jelas Jifree.

