MIRI: Seorang maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan sebuah Perodua Aruz di Kilometer 886.1 Jalan Bintulu-Miri, berhampiran Ladang 3, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.23 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kejadian pada 8.51 pagi.

“Kemalangan membabitkan lori kontena Mitsubishi Fuso yang dipandu seorang lelaki bersama-sama seorang penumpang serta sebuah Perodua Aruz yang dinaiki dua individu.
“Akibat perlanggaran dari sisi, pemandu dan penumpang Perodua Aruz serta pemandu lori mengalami kecederaan dan dihantar ke Klinik Bekenu oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Penumpang lori, Derald Suggin, 36, yang tersepit akibat lori terbalik di tengah jalan, berjaya dikeluarkan selepas bantuan kren dari Miri digunakan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Operasi menyelamat ditamatkan pada 12.44 tengah hari selepas semua mangsa diserahkan kepada pihak polis dan kawasan kejadian dibersihkan.
Punca kemalangan masih dalam siasatan.

