KUCHING: Seorang individu meninggal dunia manakala tiga lagi cedera selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di tepi jalan berhampiran Kampung Sabal Tapang, Jalan Sri Aman-Kuching.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.50 malam tadi, dengan mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang lelaki berusia 24 tahun.
Seorang mangsa lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh paramedik di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, katanya dalam satu kenyataan.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata pasukan EMRS Bomba telah membantu menghantar dua orang mangsa, iaitu seorang perempuan dewasa berusia 23 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, katanya ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membawa seorang lagi mangsa lelaki dewasa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

