SIBURAN: Seorang tersepit manakala dua individu cedera ringan dalam nahas kemalangan kendiri di Jambatan Sungai Batu, Kampung Tapah, di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi PBK II Saiful berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.16 pagi dan mengerahkan anggota balai bomba dan penyelamat (BBP) Siburan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva dengan dua mangsa berjaya keluar sendiri manakala pemandu kenderaan masih tersepit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Saiful, pasukan bertindak mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian pemandu dengan melakukan operasi pemotongan menggunakan peralatan khas.
Mangsa kemudian dibawa Hospital Serian untuk tindakan lanjut, katanya.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.23 pagi,” ujar beliau.


