SIBURAN: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kampung Keromboi, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi dan tiba di lokasi 12 minit kemudian.
“Kemalangan melibatkan motosikal Honda yang dinaiki dua wanita dengan sebuah kereta Proton Saga. Salah seorang mangsa, Siti Nur Hafinda, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi mangsa, Mering Singing, 30, mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan,” menurut kenyataan itu.
Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.30 pagi selepas kawasan kejadian disahkan selamat, dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – TVS

