Ramadan kali ini benar-benar menurunkan cahaya kasih. Bulan sabit di langit menjadi saksi dan bintang yang berkelip seolah-olah turut berzikir bersama umat manusia menanti waktu berbuka.
Di rumah teres dua tingkat itu, ada insan yang begitu teruja untuk berbuka puasa pada hari pertama di bulan ramadan.
Di meja makan, Pak Samuel sudah duduk bersedia menghadap juadah berbuka. Walau dirinya seorang penganut agama kristian, namun dialah juga yang paling bersemangat untuk berbuka. Wajahnya ceria dan penuh senyuman.
Dia tersenyum senang memerhati ulah ayahnya. Emaknya juga sudah duduk di samping ayahnya.
“Ha… apa tunggu lagi. Duduklah, Umang.” Pelawa ayahnya dengan gembira.
Dia tersenyum sambil mengangguk, menarik kerusi lalu mengatur duduk di hadapan ayah dan emaknya. Suaminya pula duduk di sisi.
“Ini emak masakkan lauk kegemaran kamu, ayam pansuh. Asli dari buluh yang ayah bawa siang tadi. Ada manis-manis buluhnya. Bukan masak menggunakan periuk.” Jelas ayahnya tanpa di minta.
“Emak dan abak (ayah) datang dari jauh. Penat pun belum hilang. Sudah sibuk memasak lauk berbuka untuk Umang.” Katanya berbunga bahasa.
Padahal di dalam hatinya melonjak gembira.
“Ah! Bukan selalu. Setahun sekali sahaja. Tidak usah kamu sibuk-sibuk membeli lauk di bazar tu.” Ujar ayahnya lagi.
Dia angguk lagi tanda setuju.
“Sepanjang bulan puasa ini, kalau emak mampu memasak, emak akan masak untuk kamu dan Zaki. Boleh jimat belanja sedikit. Nanti raya banyak nak guna duit.” Celah emaknya pula sambil mencedok nasi ke pinggan mereka.
Dia mengakui bahawa, kalau bulan-bulan lainnya, payah benar hendak mengajak ayah dan emaknya ke bandar. Bermalam sehari dua pun sudah cukup bertuah. Jika diajak, ada-ada sahaja alasan mereka. Ayam, itik, anjing, kucing, sayur, siapa hendak beri makan dan menyiramnya? Padahal ada sahaja jiran sebelah rumah menawarkan bantuan tanpa upah.
Anehnya, kalau bulan ramadan, kehadiran mereka tidak perlu dijemput. Tidak perlu dipaksa. Tahu-tahu sahaja sudah muncul di muka pintu.
Itulah antara kegembiraannya setiap kali bulan ramadan menjelma. Bulan yang paling dinantikan selain melaksanakan ibadah puasa. Ayah dan emaknya akan tinggal bersamanya sepanjang bulan ramadan sehingga aidilfitri. Paling menyeronokkan, dia akan gantung kuali selama sebulan kerana masakkan berbuka sudah tersedia di meja setiap kali dia dan suaminya pulang ke rumah.
“lain kali, Abak dan emak tidak usahlah menunggu kami untuk berbuka. Berbukalah dahulu. Ini… Umang ada belikan kurma jenis baharu. Abak mesti lebih suka akan kurma ini. Butirnya lebih besar dan bijinya kecil sahaja. Kurma Medjoul dari Palestine, bak.” Ujarnya sambil membuka kotak kurma yang dibelinya daripada seorang teman.
“Ish! Kita berbuka sama-sama sahaja. Kurma ini akan jadi lebih sedap kalau makan bersama dan tepat pada waktunya.” Jawab ayahnya ceria.
Dia ketawa kecil. Dia tahu ayahnya bergurau dalam benar. Dia juga tahu kalau ayahnya menghormati dia dan suaminya yang sedang berpuasa.
Dia dan ayahnya mungkin sudah berbeza agama. Namun mereka tetap keluarga. Agama yang dianuti oleh dia dan ayahnya, Samuel, tidak akan pernah mengubah warna darah yang mengalir di setiap urat nadinya.
Namun bisikan masyarakat di sekeliling juga tidak pernah berhenti. Ada yang enggan memahami. Paling menyedihkan ada yang enggan mengerti. Ada pula yang memandang dengan penuh tanda tanya. Malah banyak juga mulut-mulut yang berbisik setiap kali, dia dan suami datang ke surau untuk bertarawih.
“Tidak peliklah ke orang kristian berbuka puasa? Mereka bukannya berpuasa sepanjang hari pun seperti kita?.” Begitu antara soalan yang pernah dia dengar.
Meski dunia sudah semakin moden, namun pandangan jumud sesetengah masyarakat memang sukar dikikis.
Namun dia tetap tidak endah. Pak Samuel itu ayahnya. Bagi dia, berbicara perihal ayah sendiri seolah-olah mencanang perihal keluarga kepada seluruh dunia. Keluarganya cuma keluarga kecil yang harmoni, maka tidak perlulah hendak dicanang sedemikian rupa. Paling penting ialah pemahaman kedua orang tuanya.
Lagipun, amalan berpuasa memang telah dikaji secara saintifik dan disahkan mempunyai manfaat kesihatan oleh ramai pakar perubatan dan penyelidik di seluruh dunia. Walaupun puasa dalam Islam berbeza daripada bentuk puasa moden seperti intermittent fasting, prinsipnya tetap sama iaitu menahan diri daripada makan dan minum dalam tempoh tertentu.
Dari aspek keagamaan, amalan berpuasa bukan sahaja ibadah tetapi juga terbukti memberi manfaat kesihatan. Pakar-pakar seperti Dr. Jason Fung dari Kanada, profesor Valter Longo, Profesor gerontologi dan sains biologi di University of Southern California dan Dr. Mark Mattson, penyelidik di National Institute on Aging (NIA), Amerika Syarikat telah mengesahkan melalui kajian bahawa puasa membantu dalam pengawalan gula darah, kesihatan jantung, pengurusan berat badan dan proses pembaikan sel.
Lalu, apakah yang pelik dan anehnya kalau agama dan bangsa lain juga turut berpuasa?. Walaupun bukan untuk tujuan keagamaan tetapi berpuasa sangat baik untuk kesihatan.
Malah, pada zaman serba moden ini berpuasa dalam kalangan mereka yang bukan beragama islam sudah tidak asing lagi. Maka, tidak perlulah dia bersusah payah hendak menerangkannya dengan panjang lebar. Menerangkan sesuatu kepada mereka yang enggan menerima hanya akan menimbulkan lelah di minda.
“Wah… lain betul rasa kurma ini Umang. Tidak terlalu manis seperti kurma yang Umang beli sebelum ini. Isinya juga lembut. Tidak sakit gigi abak mengunyahnya. Ini mesti kurma mahal ya? Butirnya juga besar dan bersih.” Ujar ayahnya sambil mengunyah isi kurma.
“Makan sahajalah, bak. Mahal… murah tu… usah difikirkan sangat. Bagaimana? Abak suka kan?” usik Umang.
Dia mengakui bahawa kurma yang dibelinya untuk kali ini agak berlainan dan harganya agak mahal. Namun demi ayah yang gemar makan kurma, Dia sanggup membelikan puluhan kotak jika ayahnya berkehendak. Dia tidak kisah.
“Ish! Tentu sekali abak suka. Tidak terlalu manis dan isinya lembut.”
Ayahnya mengambil sebiji lagi buah kurma lalu mengunyahnya perlahan. Dia memerhati dengan senyuman.
Hatinya senang melihat perlakuan ayahnya. Ayahnya kalau makan kurma, memang penuh penghayatan. Sangat menikmati.
“Umang, tahun ini… abak mahu sepasang baju Melayu berwarna biru, boleh?” tanya dan pinta ayahnya tiba-tiba tanpa memandangnya.
Suapannya kaku seketika. Dia menoleh ke arah suaminya di sisi. Mereka bertemu pandang. Cuba mentasdikkan pandangan masing-masing. Dia mengembalikan pandangan kepada ayahnya dan menyuap makanan perlahan.
“Kita buat rumah terbuka juga ya. Kita jemput adik beradik emak…abak…sanak saudara kita.” Ujar ayahnya lagi juga tanpa memandang wajahnya.
Dia bertemu pandang lagi dengan suaminya. Tanda tanya mulai memenuhi setiap ruang fikirnya. Dia kembali memandang ayahnya yang kelihatan begitu berselera dan bersahaja. Wajah ayah dan emaknya di pandang silih berganti.
“Err… boleh sahaja abak. Nanti Umang belikan. Tapi kalau hendak menempah, ramai tukang jahit sudah tidak mahu menerima lagi sekarang.” Katanya perlahan sambil menyembunyikan tanda tanya di hati.
“Tidak mengapalah. Asalkan ada sahaja untuk dipakai dan saiznya sesuai.” Jawab ayahnya lagi.
“Kalau dipakaikan dengan kain samping, pasti lebih nampak segak bergaya, bak.” Celah suaminya pula.
“Itu tidak usahlah. Panas. Baju Melayu sahaja cukup. Kainnya pilih yang nipis-nipis sahaja.” Pinta ayahnya lagi.
“Ha… Mak pula bagaimana? Mahu berbaju kurungkah tahun ini? Nanti Umang belikan warna sedondon dengan abak. Baru nampak macam pengantin baru.” Usiknya sengaja memancing suasana agar tidak terlalu kekok dengan permintaan ayahnya yang tiba-tiba.
“Itu…abak setuju.” Jawab ayahnya pantas lalu menoleh ke arah emaknya di sisi.
“Hah! Tidak usahlah. Pakai baju biasa-biasa sahaja sudahlah. Lagipun, badan emak yang macam anak gajah ni, bukan senang hendak mencari saiz baju kalau tidak ditempah. Nanti tidak muat. Buat bazir sahaja membelinya.”
Mereka akhirnya sama-sama menghambur ketawa.
Emaknya memang begitu, sering menyamakan diri dengan anak gajah kerana saiz badan emaknya yang agak gempal.
“Anak gajah comel mak… kalau berbaju kurung…nampak lebih comel.” Celah suaminya pula.
Mereka menghambur ketawa lagi. Berbual mesra sehingga selesai menjamu selera. Dia dan suami ke surau berdekatan untuk bertarawih seperti biasa.
Selesai menunaikan solat tarawih, Dia mengensot rapat ke arah suaminya. “Kenapa abak lain benar tahun ini, bang?. Minta yang bukan-bukan. Tidak seperti ramadan yang lepas-lepas.” Dia meluahkan rasa yang terbuku sejak mereka berbuka tadi.
“Lain apa nya?.”
Dia tahu suaminya pura-pura tidak memahami.
“Minta baju Melayu, siap pakej warna biru pula tu. Minta dibuatkan rumah terbuka juga.” Wajahnya berkerut.
“Apa salahnya?. Baju Melayu itu bukan hanya pakaian. Mungkin itu tandanya abak hendak menghormati dan meraikan kegembiraan berhari raya bersama kita pada tahun ini. Maklumlah… tahun ini kita kan… berhari raya di rumah baharu. Mungkin abak hendakkan suasana baharu juga, sebab itu agaknya abak minta kita mengadakan rumah terbuka. Jemput sanak saudara. Kiranya, macam house warmninglah tu… 2 dalam 1… apa salah dan peliknya?” Ujar suaminya lembut.
Dia mengangguk bagai burung belatuk. Kebetulan tahun ini mereka memang baru berpindah ke rumah baharu. Maka penjelasan suaminya itu kedengaran wajar. Hilanglah sedikit rasa galau di hati memikirkan kata-kata suaminya itu.
Benarlah kata pepatah, kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Seminggu sebelum menjelang aidilfitri, ayahnya dijemput tuhan dalam keadaan yang amat tenang seolah-olah sedang tidur dan bermimpi indah. Ayahnya pergi tanpa meninggalkan sebarang pesan dan permintaan.
Ayahnya pergi di sisi emak ketika mereka semua sedang lena diulit mimpi sehingga waktu sahur. Ayahnya telah terbaring kaku tanpa disedari.
Ketika hari pengebumian, walau berbeza agama, Dia meminta agar sepasang baju Melayu yang sempat dibelinya, dipakaikan kepada mendiang ayahnya. Ada yang mempersoalkan tindakannya, namun dia tidak mempedulikan kerana sepasang baju Melayu itu adalah permintaan terakhir ayahnya.
“Kita tidak patut memakaikan abak dengan baju Melayu itu, Umang.”Ujar abang sulungnya lembut.
“Baju itu permintaan, abak, bang. Baju itu sudah tersarung di badannya sebelum ini, abak sangat suka. Abak kata dia tidak sabar hendak memakainya untuk aidilfitri nanti.” Jawabnya dengan tangis yang tertahan-tahan.
Dia dapat melihat dengan jelas senyuman yang terukir di bibir ayahnya ketika mencuba baju Melayu yang baharu dibelinya. Emak juga mengusik-usik dengan mengatakan ayah sangat segak. Muda sepuluh tahun kata emak dan mereka sama-sama ketawa.
“Walaupun abak berbeza agama dengan Umang, bang. Tapi kasih sayang abak terhadap Umang tidak pernah berubah. Kasih sayang abak lebih islam daripada kebanyakan orang. Abak sangat memahami, Umang. Jadi Umang mohon, sempurnakanlah kegembiraan abak ini, bang. Pakaikanlah abak sepasang baju Melayu ini bersamanya. Semoga abak tetap gembira di alam sana. Bagi Umang, baju ini bukan sekadar pakaian yang akan menemai abak di alam sana, ini doa Umang untuk abak yang tidak pernah putus.” Umang akhirnya menghambur tangis.
Suasana menjadi hening seketika. Tiada yang berani membantah. Sepasang baju Melayu akhirnya dipakaikan juga kepada ayahnya.
Tahun ini aidilfitri menjelma tanpa senyuman seorang ayah. Rumah baharu mereka yang sepatutnya meriah seperti selalu menjadi terlalu sunyi, tetapi dia tetap membuka pintu untuk tetamu. Meja panjang di ruang tamu tetap juga dipenuhi juadah.
Tetamu yang hadir berkunjung tetap disambut dengan tangan terbuka. Ucapan tahniah dan takziah juga berselang seli.
Baginya, hari ini dia bukan sahaja meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Meskipun, tidak mengadakan rumah terbuka, Dia tetap menyambut aidilfitri untuk menunaikan impian dan keinginan ayahnya.
Di hujung meja, dia meletakkan sepiring kurma, seolah-olah menanti tangan tua itu datang untuk menyuapnya lagi.
Dan malam itu, di langit bulan purnama bersinar terang, seolah-olah menyinari rumah mereka. Bintang-bintang berkelip, bagai doa yang mengiringi roh seorang ayah yang telah pergi kembali menemui tuhan. Namunya cintanya tetap kekal abadi.



