ARTIKEL

Seramai 30 komuniti Bandar Baru Samariang sertai bengkel kraftangan manik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 30 peserta menyertai Bengkel Kraftangan Manik (Pembuatan Subang) yang dianjurkan bersama oleh Kejiranan Mesra (KJM) Taman Ria dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 3, Bandar Baru Samariang di Dewan Serbaguna Bandar Baru Samariang.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang itu bertujuan memperkasakan kemahiran komuniti dalam bidang kraftangan, khususnya seni pembuatan aksesori manik.

Selain mengasah kreativiti, bengkel ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi kraftangan manik sebagai sumber pendapatan yang boleh diusahakan dari rumah dan dipasarkan kepada masyarakat setempat serta melalui platform dalam talian.

Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan dengan teknik asas pembuatan subang, penggunaan peralatan yang betul serta kaedah menghasilkan rekaan yang kreatif dan menarik.

Aktiviti berbentuk praktikal ini membolehkan peserta menghasilkan sendiri subang mengikut kreativiti masing-masing dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman.

30 peserta bergambar bersama-sama jawatankuasa penganjur selepas berjaya menghasilkan subang manik masing-masing pada Bengkel Kraftangan Manik (Pembuatan Subang) di Dewan Serbaguna Bandar Baru Samariang.

Pengerusi pengelola bengkel merangkap Pengerusi KJM Taman Ria dan KRT Fasa 3 Bandar Baru Samariang, Encik Mohd Ishaq Iskandar berkata, program seperti itu bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran dan kreativiti masyarakat, malah mampu membantu komuniti menjana pendapatan tambahan melalui penghasilan produk kraftangan yang bernilai komersial.

“Kita berharap kemahiran yang diperoleh melalui bengkel ini dapat dimanfaatkan oleh peserta bukan sahaja sebagai hobi, malah sebagai satu peluang untuk menjana pendapatan sampingan. Dengan kreativiti dan usaha yang berterusan, hasil kraftangan seperti subang telinga ini berpotensi untuk dipasarkan dan memberikan pulangan ekonomi kepada individu serta keluarga,” katanya.

Beliau turut menambah, program pembangunan kemahiran seperti itu penting dalam usaha memperkasakan komuniti, menggalakkan keusahawanan kecil dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen KJM Taman Ria dan KRT Fasa 3 Bandar Baru Samariang dalam menyediakan aktiviti yang bermanfaat, berimpak positif dan mampu menyatukan komuniti melalui pembelajaran serta perkongsian kemahiran.

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menghasilkan sepasang subang yang cantik, kreatif dan berpotensi untuk dipasarkan sebagai produk kraftangan tempatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU