KUCHING: Seorang penjenayah tegar lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencederakan seorang lelaki tempatan menggunakan sebilah parang dan sebatang kayu hoki.
Perbuatan itu didorong oleh tindakan mangsa yang pernah melaporkan kegiatan jenayah tertuduh kepada pihak polis pada Mac lalu.
Ozzy, 33, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama-sama seorang lagi rakannya yang masih bebas didakwa dengan sengaja mencederakan seorang mangsa lelaki berusia 26 tahun menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian iaitu sebilah parang dan sebatang kayu hoki.
Mereka melakukan kesalahan itu di tepi jalan di hadapan sebuah kelab malam di Tabuan Jaya sekitar jam 3.30 pagi pada 4 Mac lalu.
Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun menggunakan sebilah parang.
Dia melakukan kesalahan itu pada hari dan waktu yang sama seperti yang tercatat dalam kertas pertuduhan pertama.
Mason menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bagi pertuduhan pertama dan 14 bulan penjara untuk pertuduhan kedua terhadap Ozzy.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berasingan dan berturut-turut.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian semasa berada di pusat hiburan, pengadu telah didatangi oleh dua orang lelaki yang dikenalinya dan terus memukulnya menggunakan sebilah parang dan kayu hoki sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.
Rakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut dilibas menggunakan parang oleh Ozzy.
Laporan polis telah dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut yang kemudiannya membawa kepada penangkapan tertuduh di sebuah pangsapuri pada 18 Julai lepas.
Hasil siasatan mendedahkan bahawa semasa mangsa dan rakannya sedang berhibur di kelab malam, mereka terserempak dengan tertuduh dan rakan sejenayahnya.
Mangsa kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis tentang kehadiran kedua-dua suspek yang dipercayai banyak terlibat dalam kes kecurian kabel di Kuching dan Padawan.
Ozzy yang tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu yang pernah melaporkan kegiatan jenayahnya kepada pihak polis telah memukul pengadu menggunakan sebilah parang dan sebatang kayu hoki.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret yang berasingan, Ozzy turut dikenakan hukuman denda RM3,500 atau penjara enam bulan atas kesalahan mencuri kabel telekomunikasi milik sebuah syarikat.
Kejadian tersebut melibatkan rakaman video perbuatannya bersama lima rakan sejenayah yang lain dan telah tular di media sosial.


