SERIAN: Bukan sekadar berlumba di sungai, Serian Rafting Challenge 2026 tampil dengan sistem masa elektronik RFID, kategori standard dan spesifikasi rakit seragam dalam usaha mengangkat pertandingan itu ke pentas antarabangsa.
Pengarah Perlumbaan, Awang Saifeluddin Awangku Karim berkata, pembaharuan itu diperkenalkan bagi meningkatkan kredibiliti pertandingan selain menarik lebih ramai penyertaan antarabangsa.
Beliau berkata, pihak penganjur juga sudah menghubungi badan rafting antarabangsa dan kini menyediakan pelbagai keperluan bagi membolehkan pertandingan itu disenaraikan dalam kalendar rakit dunia.
“Kita mahu Borneo Raft Safari dikenali di peringkat antarabangsa dengan meletakkannya dalam kalendar rakit dunia.
“Kita sudah menghubungi badan rakit antarabangsa dan sedang menyediakan rekod penyertaan, prosedur keselamatan, susunan checkpoint serta pelan tindak balas kecemasan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Serian Rafting Challenge 2026 di Dewan Masyarakat Serian di sini, hari ini.
Menurutnya, maklumat pendaftaran, penginapan serta keputusan perlumbaan terdahulu akan disediakan menerusi laman sesawang Borneo Raft Safari, manakala keputusan rasmi pertandingan akan diterbitkan dalam tempoh sehari selepas perlumbaan.
Katanya, pertandingan berkenaan turut menjadi sebahagian daripada liga Borneo Raft Safari yang membolehkan pasukan mengumpul mata menerusi penyertaan dalam beberapa acara rakit di Sarawak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, Serian Rafting Challenge wajar dijadikan acara tahunan selepas tidak dianjurkan pada tahun lalu berikutan kementerian menerima makluman mengenai penganjurannya agak lewat.
“Diharapkan kita dapat mengadakannya lagi pada tahun depan dan tahun-tahun seterusnya.
“Kita berharap ia menjadi acara tahunan,” katanya.
Setakat ini, kira-kira 80 pasukan sudah mendaftar untuk menyertai pertandingan berkenaan, dengan jumlah penyertaan dijangka meningkat menjelang hari pertandingan.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Daerah Serian, Datuk Peter Minos berkata, penganjuran acara itu turut memberi peluang kepada masyarakat setempat menjana pendapatan, khususnya penduduk di Kampung Tema Mawang dan Pekan Lama Tebakang.
Katanya, penduduk boleh mengambil peluang menjual makanan, minuman, kraftangan serta produk tempatan kepada peserta dan pengunjung sepanjang acara berlangsung.
“Dalam skala kecil, kita menggalakkan peniaga dan penjual kecil kita untuk memperoleh pendapatan, sekurang-kurangnya untuk satu hari,” katanya.
Beliau berkata, peserta juga boleh membeli rakit buluh daripada pembuat tempatan atau membina rakit sendiri mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Serian Rafting Challenge 2026 akan berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 September, dengan perlumbaan sejauh 25 kilometer dari Kampung Tema Mawang ke Pekan Lama Tebakang dijadualkan pada 26 September.



