
“Mak long kemalangan, keretanya dirempuh dari belakang,” beritahu Iqmal di hujung talian.
Berita itu mengejutkan bapanya, Pak Uda Jamal yang membakar lemang di belakang rumah.
Syawal akan menjelang dua hari lagi.
“Bagaimana keadaan mak long kamu?” tanya Pak Uda Jamal cemas.
“Keadaannya stabil, tapi masih dalam rawatan doktor,” ujar Iqmal dengan tenang.
Pak Uda Jamal tidak senang duduk, lalu bergegas ke hospital melihat keadaan kakaknya.
Mujur lemang sudah siap dibakar.
“Kenapa semua ini berlaku?” getus hatinya.
Kakaknya itu telah melakukan banyak pengorbanan untuk keluarga sehingga memilih hidup sendiri.
“Usah menyalahkan takdir, setiap orang sudah tertulis jalan ceritanya,” kata Imam Seman ketika iftar di surau.
“Saya kesal kerana kakak tidak berumah tangga.
Dia ibarat lilin yang sanggup membakar diri,” balasnya sendu.
“Doakan agar kakak kamu beransur sembuh, jangan mengeluh lagi,” nasihat Imam Seman sambil menepuk bahunya.
Malam itu dia pulang lewat dari surau.
Doanya panjang berjela mengharapkan kakak kesayangannya pulih dalam masa terdekat.
Di hospital, Zakiah dirawat oleh doktor muda sebaya anak saudaranya, Iqmal.
Wajahnya manis dan lembut persis seseorang dikenali.
Dia ralit melihat tingkah doktor muda itu.
Bibirnya menguntum senyum.
Olesan gincu bibir berona merah jambu menjadi penyeri wajahnya.
“Siapa nama doktor? Mak cik lihat raut wajah…” tiba-tiba ucapannya terhenti.
Doktor muda itu merapatinya lalu menghulurkan sebekas makanan plastik berisi serunding ikan bilis untuk hidangan raya.
Manik-manik jernih mengalir laju daripada kelopak matanya.
Degupan jantungnya seakan-akan terhenti.
Terbayang di ruang mata kenangan indah bersama-sama adik perempuannya menikmati serunding ikan bilis daripada air tangan gemulah ibu.
“Mulai hari ini, kita berpisah.
Mulakan hidup baharu,” bentak ayah apabila muncul di muka pintu.
Tidak semena-mena ayah naik angin dan menarik tangan adiknya dengan kuat.
Zakiah yang masih kecil ketika itu tidak faham dengan situasi yang dihadapi.
Raungan dan tangisan adiknya tidak dihiraukan.
Ayah meninggalkan mereka tiga beranak lalu menghilangkan diri sekelip mata.
Sejak itu, sudah berpuluh tahun mereka tidak bersua muka.
Dia menjadi trauma.
Hatinya terkunci rapat untuk mengenali lelaki. Dunia yang fana menjadi sempit.
Kenangan terhadap adik perempuannya masih tidak hilang dari kotak fikirannya.
“Mak Long!” panggil Iqmal dari tadi tidak bersahut.
Zakiah seperti berada dalam dunianya sendiri.
Dia menyeka air mata daripada tumpah ke pipinya.
Zakiah ternanti-nanti kedatangan doktor muda yang mencuri perhatiannya.
“Bila doktor nak datang ni?” soalnya sambil mata melilau mencari kelibat doktor muda itu.
“Sabar mak long, sekejap lagi dia datang,” Iqmal menenangkan hati ibu saudaranya.
Pak Uda Jamal yang turut berada di situ hanya membisu seribu bahasa.
Dia memerhatikan gelagat kakaknya yang terbaring lesu di katil.
Dari jauh doktor muda itu menuju ke arahnya.
Hati Zakiah mula berbunga riang.
Namun, ada seseorang bersamanya.
Pak Uda Jamal tercengang.
“Kenalkan ini ibu saya,” kata doktor muda itu.
Zakiah yang terbaring mula bergerak lantas cuba bangun.
Wanita berusia separuh abad yang berdiri di hadapannya hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak mengenalinya.
“Ibu mengalami alzheimer beberapa tahun lalu.
Dia sukar mengingati perkara lepas,” nada doktor muda itu perlahan.
“Mak Long…” teriak Iqmal dengan kuat.
Zakiah rebah di sisi adik perempuannya.



