BINTULU: Sesi Libat Urus Pengurusan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Tahun 2026 berperanan penting dalam memperkukuh kefahaman serta meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat terhadap pelaksanaan pelbagai dasar dan pembaharuan pendidikan yang akan dilaksanakan di daerah ini.
ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, pendekatan libat urus yang melibatkan ibu bapa, guru dan komuniti membolehkan setiap dasar pendidikan disampaikan dengan lebih jelas sekali gus mengurangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, sesi tersebut turut menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan dasar pendidikan dapat berjalan lebih berkesan.
“Apabila semua pihak memahami matlamat sesuatu dasar pendidikan, pelaksanaannya akan menjadi lebih lancar dan memberi manfaat secara langsung kepada murid.
“Ini bukan sekadar sesi penyampaian maklumat, tetapi ruang perbincangan yang membolehkan ibu bapa dan masyarakat mendapatkan penjelasan secara terus mengenai isu serta hala tuju pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan di Auditorium Wisma Bintulu, hari ini.
Menurutnya, antara fokus utama yang dibincangkan dalam sesi tersebut ialah pendidikan awal kanak-kanak, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027.
Jelasnya, penerangan awal mengenai perkara tersebut penting bagi membantu ibu bapa memahami rasional perubahan yang diperkenalkan selain meningkatkan keyakinan terhadap pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Johnny Pang berkata, sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan agar selari dengan perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi landskap pembelajaran masa kini.
Justeru, katanya, usaha melahirkan modal insan berkualiti tidak boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti, etika serta keupayaan memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab.
“Selain kecemerlangan akademik, kita juga perlu melahirkan murid yang berfikiran kritis, beretika, kreatif serta mampu menggunakan teknologi secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan agenda pendidikan memerlukan kerjasama erat antara guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti, sektor swasta serta agensi kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sesi libat urus sebagai mekanisme penting dalam memastikan setiap dasar pendidikan dapat difahami dengan baik oleh kumpulan sasar dan dilaksanakan secara efektif di peringkat akar umbi.
Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu atas penganjuran program tersebut yang disifatkan sebagai platform strategik dalam memperkukuh komunikasi serta kerjasama antara semua pihak berkepentingan demi kemajuan sektor pendidikan daerah.



