Sesi persekolahan bermula hari ini

SETELAH ditutup lebih tiga bulan berikutan pandemik Covid-19, hampir semua sekolah menengah yang mempunyai calon SPM, STPM, STAM dan SPVM mula dibuka semula hari ini.

Pembukaan semula sekolah dibenarkan setelah Majlis Keselamatan Negara mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, setelah bersetuju dengan prosedur operasi standard ketat yang dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pastinya calon-calon peperiksaan awam tersebut lega, kerana masih berpeluang belajar secara bersemuka dengan guru di dalam kelas.

Cuma bezanya, jumlah pelajar di dalam kelas akan dikurangkan.

Tidak lebih 20 pelajar di dalam satu kelas. Tiada lagi suasana seperti sebelum kes pertama Covid-19 dikesan di negara ini pada Februari lalu.

Proses pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Pelajar tidak boleh bergerak bebas di dalam kelas dan seluruh sekolah.

Tiada perkumpulan ataupun perhimpunan dibenarkan. Malah untuk makan, pelajar perlu membawa bekal sendiri.

Tidak boleh makan di kawasan kantin sekolah. Sebelum memasuki pintu pagar sekolah, setiap pelajar perlu melalui proses mengimbas suhu badan.

Cuma mereka yang tiada gejala demam, batuk dan selesema dibenarkan meneruskan perjalanan menuju ke kelas.

Malah, perjalanan juga perlu berdasarkan garis panduan khas. Akan ada laluan khas yang perlu dilalui oleh pelajar. Tidak seperti sebelum ini, pelajar bebas untuk bergerak ke mana-mana sahaja di kawasan sekolah ini.

Semua ini akan menuntut sikap sabar yang tinggi setiap seorang pelajar.

Malah bukan seorang atau dua guru yang bertugas memastikan pematuhan SOP. Semua guru yang berada di sekolah bertanggungjawab, termasuk kakitangan bukan guru.

Pelajar harus bersabar melalui setiap arahan pihak sekolah. Ia demi kebaikan pelajar itu sendiri – memastikan tidak terjangkit dengan virus Covid-19.

Dengan kebenaran sekolah mula dibuka hari ini, maknanya, mudah untuk pelajar membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan yang akan menentukan sama ada calon STPM akan mendapat tempat di institut pengajian tinggi tempatan di dalam ataupun luar negara.

Bagi calon SPM pula, ia adalah syarat utama melayakkan mereka meneruskan pengajian di tingkatan enam ataupun IPT.

Selain itu, ia juga antara kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan jika tidak meneruskan pengajian.

Pastinya, hari ini mata seluruh negara akan tertumpu kepada sekolah-sekolah yang akan dibuka semula.

Ini ekoran tahap pematuhan SOP ketat yang dilaksanakan akan menjadi kayu ukur untuk pembukaan lebih banyak sekolah secara berperingkat-peringkat.

Walaupun ada kalangan ibu bapa bimbang dengan tahap keselamatan anak-anak di sekolah, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain setelah memikirkan pendidikan anak-anak sebagai jaminan masa depan.

Namun demikian, ibu bapa atau penjaga juga berperanan penting.

Pastikan anak-anak sihat untuk datang ke sekolah. Sentiasa memeriksa tahap keselamatan anak-anak walaupun sudah berada di tingkatan lima atau enam.

Bantu mereka memahami akan keperluan patuh garis panduan yang ditetapkan.

Dalam tempoh seminggu dua ini, norma baharu ini akan membudaya, dan mereka akan mampu membiasakan diri. Dan akhirnya, kejayaan ini akan membawa kepada membuka sesi persekolahan sepenuhnya.