ARTIKEL

| MAGNIFIC.COM

Sewa sepanjang hayat atau beli rumah?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MEMILIKI rumah sendiri merupakan impian kebanyakan individu dan keluarga.

Persoalan popular sama ada lebih baik menyewa sepanjang hayat atau membeli rumah kekal menjadi dilema.

Memiliki rumah bukan soal kemampuan kewangan sematamata.

Ia melibatkan komitmen, matlamat jangka panjang, persekitaran dan fungsi sebenar rumah yang diperlukan.

Oleh itu, keputusan untuk membeli atau menyewa rumah tidak boleh dibuat secara terburu-buru. Jangan beli rumah sebab kawan suruh.

Jangan beli rumah sebab promosi-promosi tertentu sedangkan anda baru mula bekerja.

Membeli rumah terlalu awal tanpa persediaan yang mencukupi boleh menyebabkan tekanan kewangan, terutama jika berlaku kehilangan pekerjaan atau kecemasan yang tidak dijangka.

Jadi, bila masa paling sesuai untuk beli rumah?

Perkara pertama, menyewa bukan satu kesalahan atau merendahkan martabat anda.

Lebih-lebih lagi untuk individu bujang atau baru mendapatkan pekerjaan.

Tidak ada sebab untuk tergesa-gesa memiliki rumah pada fasa tersebut.

Contohnya, individu A bekerja di Kuching dan mula membeli rumah yang dalam tempoh pembinaan atas faktor harga lebih murah dan dekat dengan lokasi kerja.

Dalam tempoh kurang lima tahun, macam-macam boleh terjadi berkaitan persekitaran kerja, ekonomi semasa dan komitmen.

Adakah individu A betulbetul yakin bahawa dia akan kekal bekerja di Kuching untuk sepanjang hayat?

Apa yang akan berlaku sekiranya dipindahkan atau mendapat tawaran kerja dengan gaji lebih baik di kawasan luar Kuching?

Mungkin ada yang terfikir untuk sewakan rumah di Kuching.

Tetapi kos pinjaman masih ditanggung dan sekiranya berlaku apa-apa kerosakan, rumah tersebut akan menjadi beban.

Dalam banyak keadaan, kadar sewaan mungkin tidak mencukupi untuk menampung sepenuhnya ansuran pinjaman dan kos penyelenggaraan.

Jadi, beli rumah sekiranya kita benar-benar yakin dengan kerjaya dan lokasi yang bersesuaian.

Sebolehnya, beli rumah selepas berkahwin untuk kita tahu kekuatan ekonomi keluarga sebelum menambah komitmen dalam tempoh puluhan tahun.

Komitmen pinjaman perumahan boleh mencecah tempoh sehingga 35 tahun menyebabkan seseorang terikat dengan bayaran bulanan dalam jangka masa yang panjang.

Sekiranya berlaku masalah kewangan atau kehilangan sumber pendapatan, bayaran bulanan akan tertunggak.

Justeru, pastikan anda mempunyai simpanan sebanyak tiga hingga enam bulan gaji sebagai simpanan kecemasan.

Pun begitu, keperluan dan kemampuan untuk beli rumah ini berbeza-beza mengikut individu.

Membeli rumah untuk didiami berbeza fungsi sekiranya anda membeli rumah untuk dilaburkan atau disewakan.

Kalau banyak duit dan berhasrat untuk beli rumah sebagai pelaburan, anda boleh beli seawal mungkin.

KELEBIHAN BELI DAN SEWA

Salah satu kelebihan utama membeli rumah ialah seseorang mempunyai hak milik ke atas aset tersebut.

Nilai pasaran rumah berpotensi meningkat dari semasa ke semasa.

Pemilik rumah mempunyai kebebasan untuk mengubah suai kediaman mengikut cita rasa dan keperluan keluarga tanpa perlu mendapatkan kebenaran tuan rumah.

Pemilik rumah juga tidak perlu bimbang tentang kenaikan kadar sewa atau arahan mengosongkan rumah apabila kontrak tamat.

Dari sudut ekonomi, membeli rumah juga dapat membantu menghapuskan kitaran kemiskinan dalam sesebuah keluarga.

Rumah merupakan aset yang boleh diwariskan kepada anak, sekali gus mengurangkan beban mereka untuk memiliki tempat tinggal pada masa hadapan.

Menyewa rumah juga mempunyai kelebihan tertentu.

Penyewa tidak perlu menyediakan wang pendahuluan yang besar atau menanggung kos penyelenggaraan utama.

Mereka juga mempunyai kebebasan untuk berpindah ke lokasi lain sekiranya memperoleh pekerjaan baharu atau ingin mencari kawasan yang lebih sesuai.

Situasi ini amat menguntungkan golongan muda yang masih membina kerjaya atau belum pasti lokasi tempat tinggal jangka panjang.

Menyewa juga membolehkan seseorang membina tabung kecemasan atau melabur lebihan wang sebelum bersedia membeli rumah sendiri.

Kesimpulannya, tiada jawapan yang tepat sama ada lebih baik menyewa sepanjang hayat atau membeli rumah.

Setiap individu mempunyai keperluan dan kemampuan yang berbeza.

Bagi mereka yang mempunyai kewangan yang kukuh dan merancang untuk menetap dalam jangka masa panjang, membeli rumah merupakan pelaburan yang bijak.

Sebaliknya, menyewa juga pilihan yang praktikal bagi individu yang masih mencari kestabilan kerjaya atau memerlukan fleksibiliti.

Paling penting ialah membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar, bukan semata-mata mengikut tekanan masyarakat.

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke