KOTA SAMARAHAN: Pasukan SWAT Sarawak Forestry Corporation (SFC) kini sedang menjalankan operasi khas menangani isu keselamatan berkaitan buaya di kawasan Sungai Sadong, Lubok Punggor, bermula semalam hingga 3 Oktober ini.
Menurut kenyataan rasmi SFC, operasi tersebut dilancarkan bagi mengurangkan populasi buaya di sungai berkenaan susulan beberapa laporan mengenai kemunculan reptilia itu berhampiran kawasan penempatan dan lokasi aktiviti komuniti.
“Sehubungan itu, pihak SFC menyeru agar penduduk kampung di sekitar kawasan terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menghentikan atau mengurangkan sebarang aktiviti di sungai seperti memancing, memukat dan menjala sepanjang tempoh operasi dijalankan demi keselamatan bersama,” kata kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, pihak SFC memaklumkan bahawa sebarang rakaman atau liputan media mengenai operasi ini tidak dibenarkan, selaras dengan arahan Controller Hidupan Liar.
SFC turut menegaskan komitmennya untuk terus melindungi keselamatan awam sambil memastikan keseimbangan ekosistem hidupan liar sentiasa terpelihara. -TVS

