KUCHING: Dua produk pelancongan utama di bawah kendalian Sarawak Forestry Corporation (SFC) iaitu Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Taman Negara Niah terus mencatatkan jumlah kehadiran pelawat yang menggalakkan, masing-masing seramai 340,000 dan 25,000 pelawat setakat September tahun ini.
Timbalan Pengurus Besar SFC, Japanie Bujang berkata, jumlah itu merangkumi kehadiran pelancong tempatan dan asing.
“Bagi Semenggoh, seramai 340,000 pelawat direkodkan, dengan 160,000 daripadanya merupakan pelancong luar negara, manakala selebihnya pelancong tempatan.
“Manakala di Taman Negara Niah, daripada 25,000 pelancong, 22,000 merupakan pelancong tempatan dan 3,000 pelancong luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima plak dan sijil Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang disampaikan oleh Pengarah Motac Sarawak, Debbie Jenggut Nyelang di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, SFC menerima pengiktirafan MyTQA bagi produk Taman Negara Niah yang mendapat Gold dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh juga mendapat Gold untuk tempoh 2024 hingga 2027.
Jelas Japanie, SFC kini giat melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan kedua-dua produk pelancongan itu terus menarik minat pelawat.
Beliau menambah, fasa pertama pembangunan penambahbaikan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dijangka siap pada Mei 2026, melibatkan penaiktarafan pelbagai kemudahan sedia ada bagi meningkatkan pengalaman pelawat.





