PUSA: Ketika menginjak usia remaja, anak-anak diingatkan supaya menjauhi pengaruh negatif serta isu sosial yang boleh menjerumuskan mereka ke arah kebinasaan hidup.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batang Lupar meneruskan Program Jom Berkhatan 2025 di Klinik Kesihatan Pusa bagi meringankan beban ibu bapa atau penjaga, di samping memenuhi tuntutan agama.
Menurut beliau, program itu juga menjadi platform penting untuk memupuk nilai kebersihan diri serta membentuk sahsiah kanak-kanak sejak usia muda.
“Anak-anak yang menginjak usia remaja perlu sentiasa menjaga diri, tidak meninggalkan solat, melakukan kebaikan serta menjauhi pengaruh negatif dan isu sosial yang mengundang bahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jom Berkhatan 2025 yang disertai 30 kanak-kanak di Klinik Kesihatan Pusa, hari ini.
Jelasnya, proses berkhatan menjadi titik permulaan kepada fasa remaja dan dewasa bagi kanak-kanak, seiring dengan perubahan fizikal dan hormon apabila mereka semakin membesar.
Program itu turut menghimpunkan ibu bapa, pemimpin setempat serta wakil agensi kerajaan, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Dalam pada itu, Shafizan menyatakan komitmen untuk terus membantu Klinik Kesihatan Pusa dengan menyalurkan peruntukan bagi meningkatkan kemudahan rawatan demi keselesaan dan kebajikan pesakit.
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pusa, Dr. Goh Siaw Hui dan Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji turut hadir.




