KUCHING: Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER) ialah ‘kompas’ negeri ini bagi mengharungi peluang dan cabaran dalam memperkukuh posisi sebagai hab hidrogen global, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, ia juga merupakan langkah penting dalam meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam pembangunan tenaga bersih hidrogen di rantau Asia Tenggara, sejajar dengan usaha global untuk mencapai matlamat sifar karbon menjelang 2050.
“Ini merupakan dokumen strategik yang dijangka memacu agenda hidrogen negeri ini hingga 2035 dan seterusnya.
“Pelan ini menjadi panduan yang akan menggerakkan Sarawak ke arah ekonomi hidrogen yang mampan dan berdaya saing, selaras dengan usaha kita untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memerangi perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Forum Ekonomi Hidrogen 2025, Merintis Masa Depan Tenaga Baharu: Ekonomi Hidrogen Sarawak Dalam Tindakan di sini, hari ini.

Tambahnya, Sarawak memiliki sumber daya yang sangat berharga untuk menyokong inisiatif ini, terutamanya dalam penghasilan hidrogen yang lebih bersih dan berdaya saing.
“Kita sangat bertuah kerana memiliki sumber semula jadi yang kaya dan ini memberi kelebihan dalam membangunkan teknologi baharu untuk menyokong dasar yang terkandung dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak.
“Walaupun banyak pihak skeptikal terhadap potensi hidrogen sebagai sumber tenaga utama pada masa depan, perkembangan teknologi terkini menunjukkan bahawa kos penghasilan hidrogen semakin menurun.
“Bahkan, sebuah syarikat global di Poland berjaya mengurangkan kos alat elektrolizer, yang bermaksud kos penghasilan hidrogen akan lebih rendah serta bakal menjadi bahan api utama pada masa hadapan,” jelasnya.
Pelan hala tuju itu jelasnya, bukan sahaja merupakan satu kejayaan bagi Sarawak tetapi juga merupakan antara langkah pertama dalam merangka pelan yang jelas dan tersusun bagi mencapai matlamat ekonomi hidrogen.
Beliau turut berkongsi pengalamannya semasa menghadiri pertemuan di Sekolah Ekonomi London dengan Sarawak berpeluang untuk meneroka teknologi terkini dalam usaha mengurangkan suhu global.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Sarawak sekali lagi bakal menjadi tuan rumah Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2026 yang akan diadakan pada 9 hingga 11 Jun depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.


