PASANGAN popular Korea Selatan, Shin Min Ah dan Kim Woo Bin bakal melangsungkan perkahwinan pada Disember depan, sekali gus menamatkan penantian peminat yang mengikuti hubungan mereka sejak sedekad lalu.
Menurut kenyataan rasmi AM Entertainment yang mewakili kedua-dua selebriti itu, majlis akan diadakan secara tertutup pada 20 Disember ini di Seoul, dengan kehadiran keluarga terdekat serta kenalan rapat sahaja.
Agensi berkenaan turut memaklumkan bahawa keputusan ini dibuat berasaskan kepercayaan mendalam yang terjalin sepanjang hubungan mereka.
Shin Min Ah dan Kim Woo Bin mula rapat selepas bergandingan sebagai model sebuah jenama pakaian pada 2015.
Dua tahun kemudian, hubungan mereka diuji apabila Kim Woo Bin terpaksa menghentikan sementara aktiviti seni selepas disahkan menghidap kanser nasofarinks.
Sepanjang tempoh rawatan, pasangan itu kekal bersama dan sering menjadi contoh ketabahan kepada peminat.
Kini, selepas 10 tahun menjalinkan hubungan, kedua-duanya memilih untuk melangkah ke fasa seterusnya.
Peminat dan rakan industri membanjiri media sosial dengan ucapan tahniah, manakala AM Entertainment memberi jaminan menyokong perjalanan karier pasangan pelakon itu.



