ARTIKEL

Dr. Sim dan Matthew menunjukkan risalah SHMMP sempena Hari Gawai di Pasar Raya Emart Tabuan Jaya. (Gambar: LEVRONE AIGLE)

SHMMP Hari Gawai 2026 bukti komitmen kerajaan pelihara kebajikan rakyat di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2026 di Sarawak mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kestabilan harga barangan keperluan dan kebajikan rakyat terus terpelihara sepanjang musim perayaan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pelaksanaan skim itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

Menurut beliau, pendekatan kawalan harga sempena musim perayaan tersebut penting bagi memastikan pengguna dapat membuat persiapan sambutan dalam keadaan lebih teratur dan pada harga yang berpatutan.

“Kerajaan sentiasa memahami keperluan rakyat terutama ketika musim perayaan apabila permintaan terhadap barangan tertentu meningkat.

“Oleh itu, langkah seperti SHMMP ini amat penting bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin di Pasar Raya Emart Tabuan Jaya, hari ini.

Dr Sim berkata, situasi ekonomi global termasuk konflik antarabangsa turut memberi kesan kepada rantaian bekalan dan harga barangan di pasaran.

“Kita menderita akibat peperangan kerana apabila tiada keamanan, maka tiada kemakmuran. Kesan perang menyebabkan harga barang meningkat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan dan kestabilan memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan.

“Kalau ada semangat perpaduan, baharu ada kestabilan. Kalau berpecah, macam mana mahu ada kestabilan? Hanya dengan kestabilan kita boleh bergerak maju,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic berkata bahawa, SHMMP Hari Gawai 2026 akan berkuat kuasa selama sembilan hari, meliputi lima hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan tiga hari selepas sambutan.

Katanya, sebanyak 12 jenis barangan akan dikawal harga sepanjang tempoh tersebut, termasuk ayam tua hidup, kepak ayam, daging kerbau import, bawang putih, kubis bulat import, cili kering keriting dan santan kelapa.

Menurut beliau, pelaksanaan skim berkenaan bertujuan memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga mendadak ketika permintaan meningkat menjelang sambutan Hari Gawai.

Beliau berkata, pemantauan akan dijalankan secara berterusan di seluruh negeri bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

“Peniaga diingatkan supaya menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.

“Kita juga akan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan mudah diperoleh pengguna,” katanya.

Menurut beliau, KPDN Sarawak telah menggerakkan 207 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan harga serta bekalan mencukupi di pasaran.

“Kerajaan berharap semua pihak mematuhi harga maksimum yang ditetapkan dan menggunakan tanda harga merah jambu bagi barangan terkawal,” katanya.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU