ARTIKEL

PEMENANG... Datin Seri Dona Drury Wee (dua kanan) dan Juliana Ng (kiri) menyampaikan trofi kepada kumpulan Majority.

Show Time cungkil dan gilap bakat nyanyian, tarian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertandingan bakat Show Time 2026 terus membuktikan peranannya sebagai platform mencungkil dan menggilap bakat baharu dalam bidang nyanyian serta tarian, sekali gus memberi ruang kepada peserta meningkatkan keyakinan diri sebelum melangkah lebih jauh dalam industri seni.

Juri pertandingan, Datin Seri Dona Drury Wee, berkata pertandingan seumpama itu wajar diperbanyakkan kerana bukan sahaja membuka peluang kepada bakat baharu untuk menyerlah, malah membantu mereka memperbaiki kelemahan menerusi teguran membina daripada barisan juri.

JURI… Chien Ng.

“Apabila menyertai pertandingan seperti ini, peserta dapat membina keyakinan diri. Mereka juga perlu menerima komen juri secara positif kerana ia bertujuan membantu mereka menjadi lebih baik, bukannya untuk menjatuhkan semangat,” katanya.

Menurutnya, pertandingan bakat turut menjadi medium terbaik untuk mengenal pasti bakat tersembunyi yang hanya memerlukan bimbingan dan pendedahan bagi mengembangkan potensi mereka.

Beliau turut mencadangkan agar Show Time diperluaskan ke bahagian lain di Sarawak seperti Sibu, Miri dan Bintulu bagi membolehkan lebih ramai bakat tempatan diketengahkan ke pentas akhir peringkat negeri.

“Bagaimanapun, usaha itu memerlukan sokongan daripada kerajaan serta penaja korporat memandangkan kos penganjuran di beberapa lokasi adalah tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi juri, Chien Ng, menyifatkan kebanyakan finalis mempamerkan persembahan yang menghiburkan serta memiliki potensi besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian dan tarian.

Menurutnya, selain memiliki kemahiran, setiap peserta perlu membentuk identiti serta gaya persembahan tersendiri bagi menyerlahkan keunikan masing-masing ketika berada di atas pentas.

“Semua orang mempunyai gaya tersendiri. Apa yang penting ialah mencari identiti itu, memperhalusinya dan menjadikannya kekuatan dalam setiap persembahan,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur merangkap juri, Juliana Ng, berkata pertandingan akhir kali ini merupakan antara penilaian paling sukar kerana kesemua 12 finalis mempamerkan persembahan berkualiti tinggi.

Beliau berkata, semua finalis sememangnya layak berada di pentas akhir, manakala kumpulan Majority yang dinobatkan sebagai juara benar-benar menepati kriteria yang dicari oleh barisan juri.

“Mereka benar-benar layak bergelar juara. Persembahan mereka sangat mantap dan itulah yang membezakan mereka pada malam ini,” katanya.

Juliana turut memberi bayangan bahawa pertandingan itu akan diteruskan menerusi penganjuran Show Time 2.0, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu untuk diketengahkan pada masa hadapan.

PILIHAN PENONTON… Julie Ann antara finalis yang memenangi kategori Pilihan Penonton.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU