ARTIKEL

CENDERAHATI…Premier menerima cenderahati daripada Temenggong Datuk Sri Wan Hamid Edruce sebagai kenang-kenangan sambil disaksikan Fadillah dan kenamaan lain. FOTO JAPEN

Sibu bakal jadi bandar pintar rendah karbon

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Sibu bakal distruktur semula sebagai bandar pintar rendah karbon menerusi pelaksanaan pelan induk pembangunan yang komprehensif bagi memperkukuh ekonomi hijau serta memenuhi tuntutan pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu sejajar dengan perubahan landskap ekonomi global yang kini memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada industri tradisional seperti pembalakan.

Menurut beliau, Sibu yang suatu ketika dahulu berkembang pesat menerusi industri perkayuan perlu beralih kepada model pembangunan baharu berasaskan ekonomi hijau bagi memenuhi keperluan era semasa.

“Kalau dahulu Sibu dibangunkan berasaskan industri balak, hari ini industri itu semakin berkurangan kerana kita mahu membangun mengikut prinsip rendah karbon. Era telah berubah, kelestarian alam sekitar menjadi keutamaan dan kita perlu mewujudkan industri baharu untuk Sibu.

AMANAT…Premier menyampaikan amanatnya pada Majlis Makan Malam bersama ketua-ketua masyarakat Bahagian Sibu sempena Program Sarawakku Sayang, di sini, malam tadi. FOTO JAPEN

“Sibu mesti dibangunkan mengikut pelan induknya dan saya berharap ketua-ketua masyarakat memahami hala tuju pembangunan Bahagian Sibu,” katanya pada Majlis Makan Malam bersama ketua-ketua masyarakat Bahagian Sibu sempena Program Sarawakku Sayang, di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, pembangunan bandar pada masa lalu berkembang tanpa pelan struktur yang menyeluruh, justeru pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan pembangunan Sibu lebih terancang serta mampu menyesuaikan diri dengan cabaran perubahan iklim.

Beliau berkata, penubuhan Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RDDA) akan menjadi pemangkin utama pembangunan Sibu, khususnya dalam memperkukuh ekonomi hijau yang berasaskan pemeliharaan sumber semula jadi.

Menurutnya, kawasan hutan perlu terus dipelihara dan ditanam semula sebagai kawasan penyerap karbon (carbon sink) yang berpotensi menjana nilai ekonomi menerusi perdagangan karbon.

“Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.5 bilion kepada setiap agensi pembangunan wilayah bagi melaksanakan projek pembangunan mengikut keperluan kawasan masing-masing menerusi pendekatan pembangunan dari bawah ke atas (bottom-up),” ujarnya.

Beliau berkata, transformasi Sibu turut memberi penekanan kepada penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan dan pelaksanaan dasar kerajaan bagi mewujudkan sebuah bandar yang lebih moden, cekap dan berdaya tahan.

Mengulas mengenai usaha penstrukturan semula bandar itu, Abang Johari berkata pelaksanaannya memerlukan peruntukan yang besar, namun kerajaan negeri komited merealisasikannya seiring peningkatan hasil negeri.

“Kita mesti membangunkan semula Sibu dengan pendekatan baharu. Sebab itu kita mahu menyusun semula Bandar Sibu dan ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Insya-Allah, apabila hasil negeri terus meningkat, manfaatnya akan dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU