SIBU: Reka bentuk jambatan baharu yang bakal menghubungkan Bandar Sibu dengan kawasan tebing barat Sungai Bidut telah dimuktamadkan, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi itu dalam masa terdekat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan jambatan berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun dengan penekanan terhadap aspek kualiti, keselamatan dan nilai estetik agar ia menjadi mercu tanda baharu yang membanggakan warga Sibu.
Menurut beliau, projek itu merupakan antara inisiatif strategik kerajaan Sarawak untuk memperluaskan pembangunan ke kawasan tebing barat, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang lebih seimbang di kedua-dua tebing Sungai Rajang.
“Reka bentuk jambatan ke tebing barat sudah siap. Ia sangat cantik.
“Kita menjangkakan pembinaannya mengambil masa sekitar tiga tahun kerana kita mahu memastikan ia dibina dengan sebaik-baiknya dan menjadi kebanggaan masyarakat Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Abang Johari berkata, pelaksanaan projek itu memerlukan kesinambungan pentadbiran bagi memastikan setiap perancangan dapat diteruskan sehingga siap demi manfaat jangka panjang kepada penduduk Sibu dan kawasan sekitarnya.
“Tempoh kita (penggal) akan tamat tidak lama lagi dan jambatan ini memerlukan tiga tahun untuk disiapkan.
“Jika penduduk Sibu mahukan jambatan ini, ia memerlukan sokongan anda untuk kita diberi mandat sekali lagi selepas penggal ini.
“Bukan sahaja Sibu, sokongan seluruh wilayah tengah juga penting bagi memastikan jambatan ini dapat dibina,” katanya.
Sementara itu, dalam satu majlis di kawasan Sungai Bidut pada April lalu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sedang meneliti dua hingga tiga cadangan reka bentuk, termasuk model yang menyerupai London Bridge.
Menurut beliau, projek berimpak tinggi itu dianggarkan menelan kos antara RM300 juta hingga RM500 juta, melibatkan sungai selebar kira-kira 400 meter, dan telah mendapat persetujuan daripada Premier Sarawak untuk dilaksanakan.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, projek berkenaan diberi perhatian segera selepas cadangan pembinaannya dibangkitkan oleh Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, di hadapan Premier Sarawak tahun lalu.

