KUCHING: Sibu FA dan Samarahan FA muncul pendahulu awal Zon Utara dan Zon Selatan Liga Premier Sarawak 2026 selepas masing-masing membuka kempen dengan kemenangan.
Sibu FA mengungguli Zon Utara selepas menewaskan Mukah FA 2-0 di Stadium Tun Ahmad Zaidi, Sibu, pada Sabtu.

Yusri Azman membuka jaringan pada minit ke-23 sebelum Abdul Salam menggandakan kelebihan 10 minit kemudian untuk memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.
Dalam satu lagi aksi Zon Utara, Limbang FA dan Sarikei FA berkongsi mata selepas terikat 2-2 di Kompleks Sukan Limbang.
Limbang FA bermula garang menerusi jaringan Mohd Rahiimin Roslan pada minit pertama, namun Sarikei FA bangkit menerusi Saeed Owairan Fadilah pada minit ke-50 dan Faiq Abdul Rahim pada minit ke-72.
Mohd Faiz Amiludin Baki kemudian menyelamatkan Limbang FA daripada kekalahan selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90+2.
Sementara itu, Miri FA dan Bintulu FA turut berkongsi satu mata selepas aksi di Padang KRP, Lutong berakhir tanpa jaringan.
Di Zon Selatan, Samarahan FA mencatat kemenangan terbesar minggu pertama selepas membelasah Sri Aman FA 6-1 di Kompleks Sukan Sri Aman.
Mohd Zainudin Bohri membuka jaringan pada minit ke-13 sebelum Naim Drahman menggandakan kelebihan pada minit ke-20.
Muhd Zarif Razali menambah jaringan pada minit ke-53, diikuti gol kedua Zainudin pada minit ke-79.
Azai Jasmi kemudian melengkapkan kemenangan bergaya itu menerusi dua jaringan pada minit ke-86 dan masa kecederaan.
Sri Aman FA hanya mampu membalas menerusi Awg Shukri Awg Sebini pada minit ke-48.
Serian FA turut mencatat kemenangan dalam Zon Selatan selepas menewaskan PDRM FA 3-0 di Kompleks Sukan Balai Ringin.
Dalam aksi terakhir zon berkenaan, ATM FA dan Betong FA berkongsi mata selepas perlawanan di Stadium Mini Bau berakhir tanpa jaringan.
Selepas minggu pertama, Samarahan FA mengetuai Zon Selatan dengan tiga mata dan kelebihan lima gol, diikuti Serian FA yang turut mengumpul tiga mata.
ATM FA dan Betong FA masing-masing mengutip satu mata, manakala Kuching FA belum beraksi. PDRM FA dan Sri Aman FA masih tanpa mata.
Bagi Zon Utara, Sibu FA berada di tangga teratas dengan tiga mata, diikuti Limbang FA, Sarikei FA, Bintulu FA dan Miri FA yang masing-masing mengumpul satu mata.
Mukah FA masih belum mengutip mata, manakala Kapit FA belum beraksi.




