SIBU: Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (MQNKSS) Peringkat Negeri Sarawak 2026 berlangsung di Sibu bermula hari ini hingga 14 Jun, menghimpunkan peserta dari seluruh bahagian di negeri ini.
Program yang pada asalnya dijadualkan pada 15 hingga 17 Mei lalu itu telah ditunda ke 12 hingga 14 Jun dengan pengelolaan bersama oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sibu dan Sekolah Kebangsaan Agama (SKA) Sibu di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu.
MQNKSS merupakan platform untuk mencungkil bakat murid dalam bidang tilawah dan hafazan al-Quran, seni khat serta nasyid, di samping memupuk penghayatan terhadap nilai-nilai Islam dalam kalangan warga sekolah.
Pertandingan itu turut menjadi medan pemilihan wakil terbaik Sarawak untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

