KUCHING: Festival dan Simposium Koir Antarabangsa Sarawak (SICFest) 2026 yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini dijangka menghimpunkan lebih 2,000 peserta dan pengiring dari dalam serta luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival yang memasuki tahun ketiga itu terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila berjaya menarik penyertaan dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina.
“Saya sendiri terkejut melihat jumlah peserta yang akan hadir. Jika dua tahun lalu kebanyakannya terdiri daripada peserta sekitar Kuching, kali ini penyertaannya berkembang ke peringkat antarabangsa.
“Ini menunjukkan festival ini semakin dikenali dan mendapat pengiktirafan dunia walaupun baru memasuki tahun ketiga penganjurannya,” katanya pada sidang media SICFest 2026, di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Menurut beliau, peserta dari seluruh Malaysia termasuk Sarawak, Sabah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Johor turut mengambil bahagian dalam festival berkenaan.
Beliau berkata, kehadiran peserta bersama ahli keluarga dan pengiring dijangka memberi manfaat kepada industri pelancongan negeri melalui peningkatan permintaan perhotelan, makanan dan minuman serta aktiviti pelancongan.
Abdul Karim berkata, festival tersebut bukan sekadar pertandingan koir tetapi turut menjadi platform pertukaran budaya, persahabatan dan persefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang.
Katanya, peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak, golongan belia, dewasa dan warga emas.
Sepanjang empat hari festival berlangsung, kumpulan koir akan mengadakan persembahan di beberapa lokasi termasuk pusat beli-belah utama di Kuching bagi membolehkan orang ramai menyaksikan persembahan mereka.
Festival berkenaan turut menampilkan pertandingan Grand Prix yang menawarkan hadiah wang tunai AS$2,500 selain trofi khas kepada juara keseluruhan.
Majlis penutupan dan penyampaian akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

