BAU: Sidang Litar Mahkamah Majistret Bau yang berlangsung selama dua hari dari 22 Disember hingga semalam mendengar sebanyak 36 kertas siasatan melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 25 individu didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM3,500, manakala kegagalan membayar denda boleh membawa kepada hukuman penjara selama 10 hingga 13 bulan serta dikenakan perintah pengawasan selama tiga tahun,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mohd Haide berkata, mahkamah turut mendapati terdapat tertuduh yang berdepan dua hingga tiga pertuduhan di bawah seksyen yang sama, mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Selain itu katanya, enam individu lain mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua mereka dikenakan denda antara RM2,800 hingga RM4,400 dan berdepan hukuman penjara selama tujuh hingga 11 bulan sekiranya gagal membayar denda.
“Sidang Litar Mahkamah Majistret Bau dijadualkan berlangsung pada minggu keempat setiap bulan bagi mendengar kes-kes berkaitan di daerah berkenaan,” katanya.




