KUCHING: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) kini memberi keutamaan kepada penyelidikan berhubung kelaziman penyakit, diagnostik serta pembangunan awal keupayaan vaksin dan bioterapeutik.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, ia khususnya bagi penyakit seperti Tuberkulosis (TB), malaria, denggi, demam babi Afrika, rabies, filariasis dan jangkitan parasit bawaan tanah.
“SIDC telah mengukuhkan perkongsian dalam bidang diagnostik, pembangunan vaksin dan pemantauan penyakit termasuk perjanjian NDA dengan Quantoom Biosciences dan EnsiliTech bagi menyokong program vaksin VaxBioD di bawah RMK-13 bernilai RM50 juta dengan sasaran menghasilkan vaksin pertama buatan Sarawak menjelang 2030,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Selain itu, beliau berkata pemantauan penyakit yang sedang dijalankan di Bau, Padawan, Serian dan Sri Aman akan diperluaskan ke seluruh negeri pada tahun depan.
Katanya, peluasan itu akan disokong oleh dua program penghapusan utama iaitu Program Penghapusan Kanser Serviks Sarawak dengan peruntukan RM18 juta dan Program Penghapusan Tuberkulosis dengan peruntukan RM15 juta.
Dalam pada itu, Sagah berkata SIDC telah melancarkan kohort PhenomeSk bagi membangunkan pangkalan data genom Sarawak dan memajukan perubatan presisi untuk populasi tempatan.
“SIDC sedang memperkukuhkan kapasiti penyelidikan dan bakatnya melalui kerjasama antarabangsa berimpak tinggi dan pembiayaan termasuk penubuhan Pusat Penyelidikan dan Latihan Bersama Ali Wallace dengan Universiti Murdoch yang akan menyaksikan pembukaan pejabat luar pesisir SIDC di Australia menjelang pertengahan 2026 bagi memudahkan perkongsian kepakaran dan latihan,” katanya.
Terdahulu, Sagah berkata perkembangan fizikal projek SIDC kini berada pada tahap 40.19 peratus setakat Oktober 2025 dengan jangkaan siap pada Oktober 2026.
Katanya, sejak memulakan operasi pada Februari 2024, SIDC telah memperluas pelaksanaan kerja dalam bidang penyelidikan, pentadbiran dan pengurusan fasiliti.

