KUCHING: Lambakan sampah terbiar serta sikap ceridak menjadi punca utama kes denggi meningkat di sekitar Jalan Datuk Ajibah Abol.
Kawasan tersebut telah dikenal pasti sebagai tempat tertinggi kes denggi di negeri ini ketika ini dengan 38 kes direkodkan sehingga semalam.
Izam Shah Abdul Rahman memberitahu, kehadiran penyewa luar yang tidak bertangungjawab dan pengotor menjadi punca kawasan tersebut berhadapan masalah kebersihan.
“Pernah sekali saya hampir ditimpa bungkusan mi segera yang mengandungi kulit telur, yang dibuang dari tingkap oleh penyewa yang menetap di atas sebuah pasar raya.
“Sudah beberapa kali ditegur agar menjaga kebersihan namun mereka tidak menghiraukannya,” jelasnya kesal.
Dia merayu pihak berkuasa memantau dan membuat tindakan pencegahan dengan lebih kerap di sekitar kawasan perkampungan ini untuk mengelak wabak denggi terus menular.
Dia juga merayu agar kerja-kerja penyelenggaraan sampah dapat ditingkatkan supaya timbunan sampah yang banyak dapat ditangani segera.
Penduduk Kampung Bintangor, Sayang Putit mendakwa, kebanyakan penghuni rumah sewa di sekitar kampungnya tidak menjaga kebersihan dengan baik.
“Pihak kesihatan sudah beberapa kali membuat semburan asap di kawasan rumah sewa di sini.
“Masalahnya, rumah yang didiami oleh penyewa ada yang tidak terurus dan agak kotor.
“Ini ditambah kebanyakan sampah di sini terbiar lama dan bersepah setelah didatangi anjing-anjing liar.
Katanya, sampah di dalam tong sampah hanya dikutip pada Isnin dan Khamis setiap minggu.
Taib Mataim memberitahu, langkah-langkah pencegahan terutamanya pengasapan sudah dua kali dilakukan oleh petugas kesihatan di Kampung Bintangor.
“Sebelum mereka memulakan operasi, mereka akan memberitahu penduduk kampung terlebih dahulu bagi mengelakkan makanan terdedah kepada asap tersebut.
Kali terakhir operasi pengasapan dilakukan adalah pada Isnin.
INFO KOMUNITI
