KUCHING: Festival Filem dan Anugerah Asia Atarabangsa (AIFFA) 2025 akan menampilkan dua kategori baharu iaitu Anugerah Dokumenteri Borneo dan Anugerah Unifest ASEAN.
Ia antara pembaharuan yang dilaksanakan sempena penganjuran edisi ketujuh yang berlangsung di beberapa lokasi tumpuan di Kuching selama empat hari bermula 12 hingga 15 November.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dua artis terkenal iaitu Simon Yam dan Dato’ M. Nasir akan hadir pada majlis tersebut.
“Majlis akan dihadiri ramai selebriti terkenal, antara yang terbaik akan hadir ialah Simon Yam yang merupakan aktor prolifik dari Hong Kong.
“Selain Simon Yam yang hadir pada Malam gala AIFFA 2025, kita juga akan dimeriahkan dengan kehadiran Dato M. Nasir yang merupakan tokoh seni terkemuka di rantau asia,” katanya ketika bercakap pada majlis persidangan AIFFA di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Menurut Karim, kementeriannya akan terus menyokong pertumbuhan industri seni khususnya dalam industri perfileman.
Menerusi sokongan padu dari kerajaan negeri, beliau percaya usaha kerjasama ini mampu meningkatkan industri perfileman di Sarawak, di samping mengukuhkan platform seni di negeri semakin berkembang.
“Kamu mempunyai platform yang sesuai untuk memperkembangkan industri di sini ke peringkat yang lebih tinggi, biarpun industri di sini tidak lah terlalu besar.
“Namun saya percaya kita di sini sentiasa mahu belajar dan membantu meningkatkan pertumbuhannya,” ujar beliau.

