ARTIKEL

Sagah (duduk tengah) serta tetamu kehormat lain bergambar bersama-sama dengan peserta selepas perasmian program SELES 2024 di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen Kuching di sini, hari ini. - Foto: Mohd Alif Noni

Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak main peranan penting wujudkan sistem inklusif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) memainkan peranan penting dalam mewujudkan sistem pendidikan bahasa Inggeris yang inklusif melibatkan para guru di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata program sedemikian penting kerana ia dapat menyediakan guru untuk berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah-ubah.

Sagah bercakap kepada pemberita. – Foto: Mohd Alif Noni

Katanya, guru bahasa Inggeris juga bertanggungjawab memastikan para pelajar fasih dan mahir dalam bahasa itu.

“Usaha ini juga sejajar dengan dasar Kerajaan Sarawak, di mana Bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi yang digunakan seiring dengan Bahasa Melayu.

“Justeru, kita yakin bahawa para guru dapat memainkan peranan dalam membantu pelajar mahir menggunakan bahasa Inggeris semasa proses pembelajaran dan komunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian program SELES 2024 di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen Kuching di sini, hari ini.

Tambahnya, program tersebut bertujuan untuk menyediakan platform bagi perkongsian, membincangkan inovasi, trend, kebimbangan antarabangsa dan tempatan terkini, serta cabaran dan penyelesaian yang dihadapi dalam bidang pendidikan bahasa Inggeris.

Jelasnya, ia juga bagi menyediakan rangkaian dan peluang perkongsian dalam kalangan pihak berkepentingan, penyelidik, guru pendidik, guru penyelidik dan pengamal untuk perspektif berbeza yang melibatkan pelbagai inisiatif bahasa Inggeris, khususnya di Sarawak.

“Ini termasuk memberi peluang kepada para guru untuk meneroka kreativiti dalam pembelajaran bahasa, strategi dan pendekatan pengajaran sedia ada dan baharu melalui penyelidikan.
 
“Seterusnya, ia juga berperanan untuk menyokong pendidikan bahasa Inggeris dan pembangunan modal insan yang mampan di negeri ini,” ujarnya.

Program itu, yang dihadiri oleh 300 tenaga pengajar bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dari Sarawak, turut mendapat penyertaan ‘National Geographic Learning’ untuk memperkayakan perbincangan serta pandangan bagi meningkatkan pendekatan MEITD terhadap pendidikan bahasa Inggeris.

Hadir sama, Timbalan Menteri MEITD, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap MEITD, Adana Jed, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pendidikan), Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad, dan Pengarah Kanan Wilayah ‘National Geographic Learning Global Partnerships Group’, Erik Gundersen.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU