KUCHING: Rakaman suara yang dimuat naik ke media sosial kini boleh dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan suara yang hampir menyerupai pemilik asal sebelum digunakan oleh sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa.
Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata perkembangan teknologi AI ketika ini membolehkan pihak tidak bertanggungjawab meniru suara seseorang dengan mudah, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai bentuk penipuan.
“Malah kami telah menerima sekurang-kurangnya tiga aduan berkaitan penipuan yang dipercayai menggunakan suara tiruan dalam tempoh dua minggu lalu, termasuk kes terbaharu membabitkan Encik Alex hari ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Mangsa, Alex Ling, 36, berkata beliau hanya menyedari suaranya disalahgunakan selepas menerima panggilan daripada rakannya ketika berada di sebuah restoran vegetarian di Tabuan Jaya, kira-kira jam 12.22 tengah hari pada 14 Julai lalu.
Menurutnya, rakan beliau memaklumkan telah menerima panggilan daripada seorang individu yang menggunakan nama serta suara hampir menyerupai miliknya dan mendakwa memerlukan wang sebanyak RM4,500 bagi membiayai kos pembedahan ahli keluarga di sebuah hospital swasta.
“Saya berasa pelik kerana saya langsung tidak pernah menghubungi rakan saya untuk meminjam wang.
“Mujur dia berasa curiga dan menghubungi saya terlebih dahulu untuk mendapatkan pengesahan sebelum membuat sebarang pemindahan wang,” katanya.
Menurut Alex, individu terbabit turut mengarahkan agar wang berkenaan dipindahkan ke akaun bank milik pihak ketiga, sekali gus menguatkan syak bahawa panggilan tersebut merupakan cubaan penipuan menggunakan teknologi AI.
Beliau berkata walaupun suara yang digunakan tidak menyerupai suaranya sepenuhnya, ia cukup meyakinkan untuk memperdaya individu yang kurang mengenalinya.
“Bagi mereka yang rapat dengan saya, mereka mungkin dapat membezakan suara itu. Namun, bagi pelanggan atau kenalan yang tidak begitu mengenali saya, mereka mungkin percaya kerana suara tersebut hampir menyerupai suara saya.
“Perkara ini bukan sahaja boleh menyebabkan orang ramai menjadi mangsa penipuan, malah menjejaskan reputasi dan kredibiliti saya sebagai seorang perunding feng shui,” katanya.
Beliau menambahkan, rakannya tidak mengalami sebarang kerugian kerana terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripadanya sebelum membuat sebarang transaksi.
Susulan kejadian itu, Alex membuat laporan polis bagi menafikan pembabitannya dalam cubaan penipuan berkenaan, selain sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang identiti dan suaranya terus disalahgunakan untuk memperdaya orang ramai.
Sementara itu, Milton berkata dua lagi aduan yang diterimanya sebelum ini turut membabitkan penjaja di Pasar Kenyalang dan Pasar Pending Seafood yang dipercayai menjadi sasaran sindiket menggunakan modus operandi hampir sama.
Jelasnya, perkembangan teknologi AI membolehkan rakaman suara yang diperoleh daripada media sosial dimanipulasi bagi menghasilkan suara hampir sama dengan pemilik asal, sekali gus menyukarkan orang ramai membezakan sama ada panggilan yang diterima adalah tulen atau palsu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan telefon atau mesej suara yang meminta bantuan kewangan, walaupun suara berkenaan kedengaran seperti ahli keluarga, rakan atau individu yang dikenali.
“Jangan panik dan terus membuat pemindahan wang. Sebaliknya, sahkan terlebih dahulu dengan menghubungi individu berkenaan melalui nombor telefon yang sedia ada atau berjumpa dengannya secara bersemuka sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.
“Dengan teknologi AI yang semakin canggih, suara sesiapa sahaja boleh ditiru. Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan,” katanya.



