SINGAPURA: Singapura merancang untuk mengekalkan kediaman lama Lee Kuan Yew, perdana menteri pertama dan tokoh pengasas negara itu, sebagai Monumen Kebangsaan yang akhirnya mungkin dijadikan ruang warisan awam, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan bersama pada Isnin, Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) berkata tapak di 38 Oxley Road itu “menyaksikan peristiwa penting pada 1950-an yang menandakan peralihan Singapura daripada sebuah tanah jajahan kepada negara merdeka.” NHB melancarkan penilaian rasmi terhadap tapak itu pada 24 Okt 2024.
Berdasarkan penemuan itu, lembaga berkenaan mengesyorkan supaya tapak berkenaan dikekalkan.
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo menerima syor itu dan berhasrat untuk mewartakan tapak itu sebagai Monumen Negara.
Jika Perintah Pemeliharaan dikeluarkan, kerajaan berhasrat memperoleh tapak itu “bagi melindungi dan mengekalkannya selaras dengan kepentingan sejarah dan kepentingan nasional, menurut kenyataan itu.
Selepas diperoleh, tapak berkenaan akan ditukar menjadi ruang awam, dengan kemungkinan menjadi taman warisan.
NHB mengeluarkan notis bertulis kepada pemilik dan penghuni tapak itu yang akan diberikan “tempoh munasabah untuk mengemukakan sebarang bantahan.”
Media tempatan melaporkan yang hartanah itu dimiliki oleh Lee Hsien Yang, anak bongsu Lee Kuan Yew dan adik kepada Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong.
Menurut kenyataan itu lagi “pemeliharaan tapak tidak mewajibkan kerajaan mengekalkan semua bangunan dan struktur di tapak itu dalam keadaan sedia ada.”
Setelah akses diperoleh, pihak berkuasa akan menjalankan kajian terperinci untuk menentukan langkah seterusnya.
“Tidak kira pilihan yang dibuat, kerajaan akan menghormati hasrat Lee Kuan Yew dan akan menghapuskan semua unsur ruang kediaman peribadi beliau dan keluarganya daripada bangunan itu,” katanya.
Rumah di Oxley Road itu merupakan kediaman Lee Kuan Yew dari 1950 hingga kematiannya pada 2015. – BERNAMA-XINHUA



