KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon di sini, hari ini.
Kunjungan yang berlangsung di Astana Negeri, Petra Jaya itu diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara strategik melibatkan kerjasama serantau khususnya dalam bidang ekonomi hijau serta inisiatif tenaga boleh diperbaharui.
Dalam pertemuan selama lebih satu jam itu, kedua-dua pihak turut menyentuh cadangan pembukaan Pejabat Konsulat Singapura di Kuching bagi memudahkan urusan perdagangan dan pelaburan selain memperkukuh hubungan antara rakyat.
Selain itu, perbincangan turut memfokuskan kepada usaha merancakkan sektor pelancongan memandangkan Sarawak memiliki khazanah alam semula jadi serta produk pelancongan unik yang berpotensi besar menarik kehadiran pelancong antarabangsa menerusi Singapura.
Sehubungan itu, Tun Wan Junaidi menzahirkan harapan agar kerjasama strategik antara Sarawak dan Singapura terus diperkukuh demi memacu pertumbuhan ekonomi mampan serta menjamin kemakmuran jangka panjang bagi kedua-dua wilayah.
Turut hadir Kaunselor Politik Singapura, Charlene Chan; Setiausaha Politik, Valerie Lim serta Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia, Datuk Fenny Nuli.


