BEBERAPA hari lalu, saya singgah di kilang memproses sabut kelapa hancur atau popular disebuat “cocopeat” di Kampung Spinang.
Satu perusahaan kampung yang dijalankan oleh Koperasi Kariah Masjid Nurul Hidayah Kampung Spinang Pusa Berhad, dan saya fikir berpotensi pergi jauh.
Biarpun diusahakan secara kecil-kecilan, purata pendapatannya seminggu melebihi RM5,000. Jika dapat diusahakan sepanjang bulan, melebihi RM20,000.
Namun, menurut pengerusi koperasi, Penghulu Musa Zen, cabarannya ialah kekurangan pembekal sabut dan pasaran yang tidak menentu.
Kerajaan perlu memperhebat bantuan untuk mereka, kerana seperti yang saya sebutkan di atas, hanya pendapatan bagi sabut kelapa hancur… belum termasuk serat dan arang jika diusahakan.
Yang saya nampak, mereka hanya menjual sabut kelapa hancur, tetapi seratnya dibuang.
Sedangkan, serat yang melonggok di kilang itu pun sebenarnya boleh digunakan untuk menghasilkan produk lain.
Berdasarkan pembacaan, serat sabut kelapa yang berbentuk panjang dengan sifat lebih kasar dan kuat boleh digunakan untuk membuat tali, berus, tikar, lapik tanaman dan produk industri, atau mungkin bermacam-macam lagi produk lain.
Belum lagi bercerita tentang arang yang boleh dihasilkan daripada produk yang sama.
Penghulu Musa ketika ditanya memberitahu, memang ada rancangan pihaknya untuk memperbesar perusahaan di kilang sabut kelapa hancur itu.
Berharap kepada satu produk sahaja memang boleh maju, tetapi jika lebih banyak produk, berkemungkinan lebih maju. Cubalah manfaatkan sumber yang ada di kawasan sekitar.
Saya kira kalau dalam Bahagian Betong, mereka antara yang aktif menghasilkan sabut kelapa hancur. Ada satu perusahaan serupa di Kampung Batang Maro, tetapi lebih kecil.
Untuk pengetahuan, Asia adalah pengeluar dan pengguna terbesar sabut kelapa hancur. Negara pengeluar utama adalah India, Sri Lanka, dan Filipina.
Permintaan untuk input pertanian organik di negara seperti China, India dan Indonesia semakin meningkat, sekali gus memacu pasaran berikutan peningkatan kesedaran tentang amalan pertanian mampan.
Selain itu, permintaan yang semakin meningkat untuk sabut kelapa hancur dalam produk pertanian yang dieksport ke Eropah dan Amerika Utara juga menyumbang kepada pertumbuhannya di rantau ini.
Memandangkan Asia mempunyai bahan mentah yang banyak tersedia, kos pengeluaran yang rendah dan infrastruktur pemprosesan yang mantap, ia menguasai pasaran sabut kelapa hancur.
Keperluan yang semakin meningkat untuk aplikasi mesra alam dan mampan dalam pertanian dan pembungkusan memberikan kekuatan selanjutnya kepada potensi pertumbuhan pasaran di rantau ini.
Beberapa syarikat utama yang memacu bahagian pasaran sabut kelapa hancur melalui inovasi dan pengembangan geografi antaranya adalah Kalyan Coir, Sri Lanka Coco Peat, Coco Coir, HortiCoir dan Universal Coir.
Syarikat-syarikat ini terus memacu pertumbuhan melalui kemajuan produk tersebut untuk pelbagai jenis aplikasi dalam sektor pertanian, hortikultur dan landskap.
Coco Coir Lanka menyediakan eksport global sabut kelapa hancur melalui rangkaian bekalan yang meluas sambil menekankan produk mesra alam dengan tanah, lumut gambut, dengan itu memenuhi keperluan yang semakin meningkat dalam niche ini untuk produk penjagaan taman yang mampan.
Dari situ, mungkin kita boleh melihat potensi penuh kelapa. Kalau dulu, mungkin isinya sahaja berguna.
Sekarang, sabut dan cengkerang semua menghasilkan duit. Sehubungan itu, untuk warga sekitar Daerah Pusa, jika ada sabut kelapa, jual kepada koperasi.
Satu kereta pengangkut dalam anggaran berat 50 kilogram, mereka beli dengan harga RM13. Mungkin nampak murah, tapi lebih baik daripada dibuang… samasamalah kita fikirkan.
Yang sepatutnya dibuang, namun boleh menghasilkan duit itu unik. Sebab itu, awal minggu ini, Kerajaan Sarawak meluluskan Rang Undang-undang bagi Sumber Lestari dan Pengurusan Sisa, 2025. Saya melihat usaha ini sebagai kunci kelestarian alam sekitar masa kini dan untuk anak cucu cicit kita pada masa depan.
Dua komponen penting yang sering dibincangkan dalam usaha menjaga bumi ialah sumber lestari dan pengurusan sisa.
Kedua-duanya bukan sahaja berkaitan dengan cara manusia menggunakan sumber alam, tetapi juga bagaimana masyarakat menguruskan sisa yang dihasilkan akibat aktiviti harian. Lebih bagus jika sisa harian yang sepatutnya dibuang, mampu diubah menjadi sesuatu yang bernilai.
Semakin moden dunia, usaha mengubah sisa buangan menjadi duit kini menjadi realiti. Sudah tiba masanya Sarawak mengikut jejak negara-negara yang sudah mendapat pulangan besar daripada sisa buangan. Pertama Sweden, negara yang sangat maju dalam pengurusan sisa.
Hanya sebahagian kecil sisa rumah dibuang, manakala majoriti dikitar semula atau dibakar untuk tenaga.
Mereka juga mengimport sampah dari negara lain supaya loji penjanaan tenaga (insinerator) mereka beroperasi sepenuhnya dan efisien. Daripada aktiviti kitar semula dan penjanaan tenaga, Sweden memperoleh pulangan ekonomi yang besar.
Begitu juga Jerman, dengan pasaran “Waste to Energy” juga berkembang pesat.
Tuntasnya, model yang digunakan berjaya menunjukkan sisa tidak semestinya beban.
Dengan pengurusan tepat dan mampan, sisa boleh menjadi sumber ekonomi yang berkekalan. Masyarakat itu sendiri harus mempunyai kesedaran tinggi.
Mentaliti sisa tidak bernilai harus diubah.
Dalam masa sama, terapkan bahawa apa-apa jua di sekeliling kita, berpotensi.
Tidak mustahil dengan sokongan banyak pihak, Koperasi Kariah Masjid Nurul Hidayah Kampung Spinang Pusa Berhad boleh membuka mata masyarakat tentang sisa jadi duit.
Rancang sebaik-baiknya hendak buat apa, terutama serat yang terbuang.
Teruskan usaha mengeluarkan produk arang. Sesungguhnya, ia perkara yang sangat menarik kerana bukan sahaja keuntungan kepada koperasi tetapi juga pulangan kepada penduduk.
Sekurang-kurangnya koperasi berjaya mencipta peluang pekerjaan untuk yang memerlukan di kampung.
Untuk rekod, di Malaysia, penggunaan sabut kelapa hancur semakin mendapat perhatian dalam sektor pertanian dan hortikultur. Ada pengusaha tempatan yang sudah menceburi penghasilan sabut kelapa hancur sebagai sumber pendapatan.
Misalnya seorang pengusaha di Gua Musang dilaporkan menjana RM8,000 sebulan daripada sabut kelapa hancur dan mendapat permintaan tinggi.
Banyak faktor yang mendorong peningkatan permintaan antaranya peralihan kepada pertanian lestari.
Ramai petani dan tukang kebun mencari media tanam yang lebih mesra alam.
Selain itu, populariti sistem hidroponik terutama di kawasan bandar atau tempat dengan tanah terhad. Wujud juga kesedaran terhadap kelestarian, susulan sabut kelapa hancur adalah residu sabut kelapa yang diproses.
Sementara bahan semula jadi dan boleh diperbaharui, yang menjadikannya lebih disukai berbanding media yang merosakkan alam seperti gambut.
Begitu juga adanya permintaan daripada sektor komersial seperti nurseri, pertanian intensif, tanaman sayur, hasil landskap, yang memerlukan media tanam berkualiti dan konsisten.



