SRI AMAN: Program kitar semula minyak masak terpakai dan barangan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) anjuran Timuran Kembangan Sdn. Bhd. di Tebingan Sungai Sri Aman, memberikan impak positif dua hala, menjaga kelestarian alam sekitar sekali gus meningkatkan ekonomi komuniti setempat melalui insentif tunai.
Pengarah Urusannya, Datuk Johnny Ting Su King berkata, inisiatif tersebut turut membuktikan bahawa bahan buangan yang sering dianggap tidak bernilai, sebenarnya mempunyai nilai ekonomi dan mampu menjana pendapatan bagi masyarakat.
“Kempen ini juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam kalangan masyarakat terhadap amalan penjagaan alam sekitar, selain menggalakkan budaya kitar semula yang memberi nilai ekonomi,” katanya kepada Suara Sarawak.
Johnny turut mengakui teruja dengan sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
“Kami tidak menjangka sambutan yang begitu menggalakkan. Sokongan masyarakat setempat ini menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sisa semakin meningkat,” katanya.
Menurut beliau, peserta menerima bayaran tunai berdasarkan berat minyak masak terpakai yang diserahkan, manakala barangan elektrik dan elektronik pula dinilai mengikut variasi sebelum ditukarkan kepada wang tunai.
Beliau berkata, kempen tersebut merupakan yang pertama dianjurkan di Bahagian Sri Aman dan pihaknya bercadang memperluas inisiatif itu ke kawasan lain pada masa akan datang.
Terdahulu, Johnny merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) atas sokongan dan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program berkenaan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada MDSA atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja menyokong matlamat pembangunan mampan, malah memenuhi tanggungjawab sosial korporat serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.



