SIBU: Polis menahan seorang warga emas lelaki bersama anaknya kerana mengamuk menggunakan sebilah pisau pemotong daging gara-gara sistem bunyi audio kereta yang bising dari kedai bersebelahan rumahnya di sini pada pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya hari ini berkata, terdahulu tular video suspek warga emas mengamuk sambil mengayunkan pisau pemotong daging di laman sosial.
“Pihak polis mengesan satu video tular berdurasi 1 minit 46 saat di laman Facebook iaitu kejadian seorang lelaki dan anaknya mengamuk ke kedai aksesori kereta sambil memegang pisau pemotong daging.
“Susulan itu, polis telah menerima satu laporan polis pada 12 Ogos 2023 jam 2.07 petang oleh pengadu lelaki berusia 30 tahun,” katanya.
Zulkipli mengatakan kejadian berlaku pada 12 Ogos 2023 jam 11.30 pagi di hadapan bangunan lot kedai iaitu tempat parkir kenderaan di Jalan Bukit Assek, Sibu.
Menurutnya lagi, punca kejadian kerana suspek warga emas berang dan tidak berpuas hati dengan bunyi bising sistem audio kereta yang diuji di sebuah kedai aksesori audio yang terletak berhampiran dengan rumahnya lebih kurang 10 meter.
“Berlaku pertengkaran mulut suspek dan anak lelakinya bersama dengan beberapa lelaki di pelanggan kedai aksesori kereta terbabit.
“Suspek warga emas bertindak mengugut dan mengayunkan senjata namun tiada sebarang kecederaan dialami oleh mana-mana pihak,” jelas beliau.
Bertindak atas maklumat, tegasnya, pada 12 Ogos 2023 lebih kurang jam 4 petang, kedua-dua suspek (bapa dan anak) masing-masing berumur 69 dan 33 tahun telah ditahan di rumah mereka bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, turut dirampas senjata yang digunakan oleh suspek untuk siasatan.
Beliau memberitahu kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Zulkipli menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkenaan kejadian tersebut.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional berkenaan kejadian dilaporkan ini,” tambah beliau.

