KUCHING: Pelaksanaan sistem baharu bagi pendaftaran Dana Endowmen Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) secara dalam talian mampu mempertingkat kecekapan serta kelancaran proses permohonan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sistem dalam talian lebih mudah berbanding pelaksanaan manual yang memerlukan kehadiran fizikal di pejabat.
“Sistem yang berkuat kuasa pada tahun ini memberi kesan positif dari segi permohonan, dan kita harap usaha ini dapat mengurangkan tempoh pemprosesan kepada satu hingga tiga bulan sahaja.
“Semasa sistem ini mula diperkenalkan, kita memerlukan masa tiga hingga enam bulan untuk memproses permohonan yang diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seusai menyempurnakan Majlis Penyerahan EFS dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut meluahkan harapan agar sasaran untuk memendekkan tempoh pemprosesan kepada satu bulan dapat dicapai selepas 1 Julai 2026.
Dalam perkembangan sama, Fatimah mendedahkan bahawa seramai 5,230 anak Sarawak atau 60 peratus daripada keseluruhan 8,743 yang layak mengemukakan permohonan EFS setakat April tahun ini.

