KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin di pejabatnya, di Petra Jaya, hari ini.
Pengerusinya, Michael Kong Feng Nian berkata, pertemuan itu tertumpu membincangkan perkara-perkara penting dalam usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam di Sarawak.
Menurutnya, turut dikongsikan visi tentang langkah-langkah dan usaha mewujudkan rangkaian pengangkutan awam di seluruh negeri.
“Kementerian Pengangkutan Sarawak telah pun bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan LPKP Sarawak dalam pelbagai inisiatif.
“Satu inisiatif yang perlu diberi perhatian ialah program tambang bas RM1, menunjukkan komitmen penting daripada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memberi subsidi tambang bas kepada orang ramai.
“Selain itu, MOT Sarawak bersedia untuk memperkenalkan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching menjelang akhir 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru katanya, LPKP Sarawak komited bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meningkatkan infrastruktur pengangkutan awam di negeri ini.
“Bergerak ke hadapan, kami komited untuk bekerjasama dengan MOT Sarawak untuk melaksanakan inisiatif yang boleh meningkatkan dan memodenkan sistem pengangkutan awam sehingga akhirnya meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Sarawak,” ujarnya.




